Datsun 120 Y kereta terakhir milik allahyarham Tan Sri P. Ramlee banyak jasa!


Lagu dan filem karya Tan Sri P Ramlee (Allahyarham) bagaikan terapi pada masyarakat. Lagi 100 tahun pun, kita tidak jelak mendengar alunan lagu dan aksi beliau. Itu cerita jasa P Ramlee pada lagu dan filem!

Di sebaliknya, ramai yang tidak tahu kereta terakhir dimiliki Seniman Agung iaitu Datsun 120 Y dengan nombor pendaftaran BAD 3608 juga berjasa besar kepada masyarakat setempat.

Sebelum kereta itu dipamerkan di Pustaka Peringatan P Ramlee, ia sebenarnya melalui liku-liku perjalanan penuh dramatik. Mujur juga kereta itu dapat dikesan berada di Lembah Klang dan tidak dimusnahkan. Jika tidak usah mimpi kita boleh melihat kereta itu dipamerkan.

Selepas kematian P Ramlee pada 29 Mei 1973, hanya sebuah kereta yang ditinggalkan. Kereta itulah yang digunakan beliau untuk berulang-alik dari Jalan Dedap, Setapak ke Shah Motel, Petaling Jaya bagi urusan penubuhan Pawagam P Ramlee di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Selaku anak lelaki sulung, Nasir mewarisi kereta itu. Apa yang terjadi pada kereta itu, ini yang menarik untuk dikongsi di sini. Entah apa yang tidak kena pada Nasir, berkemungkinan desakan ekonomi beliau menjual kereta pusaka bapanya itu kepada Sekolah Memandu Shamsuri.

Harga yang ditawarkan Nasir hanya RM3,000. Untuk salahkan Nasir, sukar juga jika kita berada dalam situasi beliau, pastinya terfikir untuk apa simpan kereta buruk yang kos penyelenggaraannya kian meningkat, lebih eloklah dijual kepada pihak yang memerlukannya.

Ketika itu belum rancak lagi usaha menghargai P Ramlee sebelum tertubuhnya Pustaka Peringatan P Ramlee pada 22 Mac 1986. Penulis dapat menghubungi ‘tauke’ Sekolah Memandu Shamsuri iaitu Shamsuri Shahrom yang kini menetap di Pagoh, Johor.

Berasal dari Batu Pahat dan kini berusia 70 tahun, Shamsuri menceritakan hubungannya dengan Nasir rapat kerana kebetulan Sekolah Memandunya terletak di Setapak (berdekatan masjid lama Setapak hala ke Kampung Puah) tidak jauh dari kediaman P Ramlee.

Mengenangkan P Ramlee ketika itu tidaklah dijulang seperti sekarang, timbul idea daripada wartawan akhbar Watan, Norhan Mahmud (kini pengarah) bersama Nasir dan Shamsuri untuk menubuhkan Sekolah Warisan P Ramlee. Sekolah berkonsepkan seni itu sudahpun didaftarkan (Jabatan Pendaftar Pertubuhan), malang pula kerana Nasir tidak serius dan banyak komitmen, maka hasrat itu putus di tengah jalan.

Sebelum kereta itu dijual, Nasir membawa Shamsuri berjumpa ibu tirinya, Saloma (Puan Sri) di Petaling Jaya untuk urusan tukar hak milik. Kereta Datsun P Ramlee yang sudah ‘ditolak’ di sekolah memandu itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Shamsuri. Pada waktu sama Shamsuri mempunyai empat lagi kereta Datsun untuk kegunaan penuntutnya, namun BAD 3608 lazimnya digunakan oleh pengajar, Razali Abdullah.

Ketika itu tiada siapa peduli kereta itu pernah digunakan Seniman Agung. Sudah namanya sekolah memandu, maklum sajalah kereta yang ada ‘dilenjan’ habis . Untuk kereta P Ramlee itu saja, sebulan berjaya melahirkan 10 penuntut. Sekolah Memandu Shamsuri mula beroperasi sejak 1979 hingga 1994 di mana pejabat terakhirnya di Jalan Air Panas (berdekatan Sekolah Menengah Tinggi Setapak).

Sumbangan BAD 3608 kepada Sekolah Memandu Shamsuri hanya bertahan selama dua tahun. Ditakdirkan suatu hari, seseorang (lelaki Melayu) berjumpa Shamsuri lalu bertanyakan pada beliau apakah mahu menjual kereta Datsun 120 Y itu? Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, Shamsuri tidak menolak kerana kereta itu pun kerap kali meragam, adalah lebih baik dijual daripada terus diperam.

Lebih membuatkan Shamsuri terharu kereta itu mahu dibeli lelaki itu dengan harga RM3,000 sama dengan harga dibeli daripada Nasir dulu. Namun lebih mengejutkan Shamsuri, kereta P Ramlee itu dijual pula lelaki itu pada harga RM6,000. Barulah Shamsuri mengerti lelaki itu adalah ‘orang tengah’ yang mencari pelbagai koleksi P Ramlee untuk dijadikan bahan pameran di Pustaka Peringatan P Ramlee.

Ikut cerita Shamsuri, selama BAD 3608 berkhidmat dengan sekolah memandunya, dalam sebulan ia digunakan 10 penuntut. Hitung panjang dalam tempoh dua tahun, kereta Datsun itu sudah melahirkan 240 pelajar yang siapa tahu kini ada yang sudah berjawatan besar.

Begitulah hebatnya insan bernama P Ramlee, usahkan lagu dan nyanyiannya, keretanya pun sempat menabur jasa kepada masyarakat.

Share on Google Plus

SOTONG KICAP

Blog yang memaparkan informasi terkini berkaitan politik, hiburan, isu semasa dan sebagainya untuk tatapan semua. Kami tidak bertanggungjawab terhadap sebarang pandangan ataupun maklumat yang disediakan.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments :

Catat Ulasan