Rawatan bekam ubah hidup suami isteri dari Butterworth ini


BUTTERWORTH 8 Dis. - Biarpun memegang jawatan sebagai eksekutif di sebuah kilang sejak 1999 namun, Mohd. Faisal Abdullah masih mengimpikan satu kerjaya yang memenuhi kepuasan hatinya.


Selain itu, dia masih mencari-cari satu bidang yang memberikannya lebih masa bersama keluarga kerana isterinya, Zaitun Ismail juga agak sibuk dengan karier sebagai pengurus akaun di sebuah hotel terkenal.

Namun, apabila diperkenalkan kepada rawatan bekam pada 2013, hatinya terpaut untuk mendalami lebih jauh ilmu rawatan Islam itu dan mula menceburi bidang itu secara sambilan.

Mohd. Faisal mula mencari ilmu rawatan bekam sehinggalah dia dan isteri mengikuti latihan intensif di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) di Kubang Kerian, Kelantan selama lima hari pada 2014.

Sejak itu pasangan suami isteri berusia 46 dan 40 tahun itu mula mengusahakan pusat rawatan bekam di rumah mereka di Taman Sungai Dua Utama dekat sini.

Menurut Mohd. Faisal, setiap hari dia dan isteri akan menerima pelanggan di rumah mereka termasuk Sabtu dan Ahad berdasarkan sistem temu janji kerana ketika itu masing-masing masih bekerja.

“Kami juga mengadakan rawatan bekam secara bergerak malah pernah ke Sungai Petani dan Sik di Kedah serta Perlis untuk membuat rawatan yang diminta oleh pelanggan.

“Tetapi saya rasa sukar nak tumpu perhatian kalau masih bekerja jadi saya ambil keputusan untuk berhenti pada Mei lalu dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada pusat rawatan ini,” kata­nya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah Mohd. Faisal, bagi memberikan keselesaan kepada pelanggan, dia akhirnya menyewa sebuah lot kedai untuk dijadikan pusat rawatan yang turut merangkumi rawatan untuk wanita.

Jelasnya, dengan adanya lot kedai itu, dia menyediakan rawatan muka, tangas, urutan badan serta beberapa lagi rawatan khas untuk wanita yang dikendalikan isterinya.

Selain itu, dia juga mempelbagaikan rawatan bekam yang ada antaranya bekam sunah, bekam kecantikan, seri wajah, resdung, jerawat, migrain dan gout.



“Di pusat ini saya cuba mengetengahkan kaedah rawatan bekam secara klinikal de­ngan memberi penekanan kepada aspek kebersihan cawan serta jarum suntikan yang digunakan.

“Kita juga mengambil berat kaedah pelupusan kain pengelap darah kera­na bimbang menjadi punca jangkitan kuman sekiranya dibuang di merata-rata tempat,” ujarnya.

Sementara itu Zaitun menambah, de­ngan adanya pusat rawatan baharu itu, pelanggan juga mendapat sedikit privasi kerana bilik antara lelaki dan perempuan diasingkan.

Katanya, bagi meluaskan lagi perniagaan itu, mereka juga menjual pelbagai produk kecantikan dan kesihatan diri seperti garam mandian, lulur dan minyak urut.

Pada masa sama, mereka berhasrat untuk menjadikan pusat itu sebagai lokasi rawatan selepas bersalin kepada ibu-ibu yang berada di sekitar kawasan itu.

“Kami juga akan membuka peluang kepada pelajar kolej atau institusi pengajian untuk mengadakan latihan amali di sini berkaitan kaedah bekam dan rawatan tradisional,” katanya.

Mereka yang ingin mencuba rawatan bekam di pusat rawatan itu boleh mengunjungi Beqam Profesional dan Jemari Spa di No. 136 Tingkat Bawah Lorong Merbau Jaya 1, Taman Seri Merbau, Sungai Dua, Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Sumber: Utusan Malaysia

Share on Google Plus

SOTONG KICAP

Blog yang memaparkan informasi terkini berkaitan politik, hiburan, isu semasa dan sebagainya untuk tatapan semua. Kami tidak bertanggungjawab terhadap sebarang pandangan ataupun maklumat yang disediakan.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments :

Catat Ulasan