Ini WIN! Luahan terbaik lelaki ini amat tepat berkenaan arwah Pak Yus


Perkongsian terbaik dari Lutfi Lokman di Facebook beliau:

Kematian Allahyarham Pak Yus amat mengejutkan. Namun, akhirnya semua pihak berjaya menerima berita pemergian itu dengan tenang. Akhirnya semua tahu bahawa janji Allah itu benar. Tidak pernah lewat atau terawal walau sesaat. Kematian itu akan tiba pada waktu yang ditentukan.

Di sebalik pemergian Pak Yus, saya langsung tidak pernah mengetahui kisah dan latar belakang hidup Pak Yus. Saya juga jarang mengikuti lawak dan apa sahaja yang berkaitan dengan maharaja lawak ini kerana saya tidak melanggan astro warna. Ada juga sekali dua, saya berada di rumah mertua, tertonton maharaja lawak dan seterusnya mengenali kumpulan jambu. Lalu saya panjangkan kajian dengan menontonnya di Youtube.

Pak Yus sememangnya dikenali sebagai pelawak/penghibur. Itu kerjaya beliau pada pandangan saya. Tugasnya adalah untuk menghiburkan orang ramai/ penonton dengan lawak yang telah dirancang samada spontan ataupun tidak spontan. Kerjaya yang agak mulia pada pandangan saya. Membuatkan orang ramai terhibur. Hati yang sedih boleh terhibur dengan lawak dan ketawa sebenarnya. Hati yang gundah gulana juga boleh terlupa akan segala masalah dengan kesukaan.

Jika tidak percaya, cuba kita soroti lawak yang pernah dikemukakan oleh Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Selain kelakar, ia adalah lawak yang pedas dan terkena batang hidung kita semua pada hari ini. Jelas, lawak juga adalah salah satu bentuk jalan untuk mendidik masyarakat jika digunakan dengan baik. Bukan saya menidakkan ketenteraman hati dengan mengingati Allah atau sebagainya. Itu suatu perkara yang sudah pasti.

Hari ini di media sosial telah tersebar berita tentang latar belakang Allahyarham Pak Yus yang penuh dengan kesedihan dan cabaran sebelum beliau berjaya menjadi apa yang beliau ada pada hari ini.

Saya melihat kepada pengorbanan seorang penghibur. Di hadapan penonton, tidak pernah kesedihan diperlihatkan. Masyarakat tidak pernah ambil tahu ataupun tahu apa kesusahan, kesedihan, kepayahan, keperitan yang dialami oleh seorang penghibur. Apa yang mereka tahu, mereka inginkan keseronokan, ketawa dan hati mereka terhibur.

Kita langsung tidak pernah tahu latar belakang Allahyarham Pak Yus. Beliau asal dari mana? tarikh lahir bila? keluarganya macam mana? hujung bulan dia ada duit ke tak ada? siapa rakan-rakan baiknya? berapa hutang beliau? dan sebagainya. Ini cerita di sebalik tabir. Tak perlu kita tahu. Kita hanya perlu tahu ketawa dan terhibur sahaja.

Begitu juga di media sosial. Ada mereka yang berkongsi segala cerita dan pengalaman yang menghiburkan saban hari. Kita tertawa, seronok dan terhibur membacanya. Apakah kita pernah tahu kesulitan, kepayahan dan kesukaran yang dialami oleh orang yang menulis cerita tersebut? tidak tahu kan? apakah kita tahu tentang kesengsaraan yang dialami oleh penulis tersebut? tidak tahu kan?

Maka, di sini perlunya kita menghargai setiap orang. Tak kira dia adalah pelawak, penghibur, penyanyi, pemuzik, peulama, pensyarah, pemain bola, penganggur, penipu dan sebagainya. Selagi mereka bernama manusia, kita berhak menghargai mereka. Ada cerita yang tidak pernah kita ketahui. Untuk itu juga, saya menyeru agar jangan terlalu cepat menghukum sesiapa sahaja. Ketahui dahulu kebenaran sebelum menjatuhkan hukuman.

Akhir kata, sama-sama kita doakan buat Allahyarham Pak Yus agar dikurniakan keampunan, kerahmatan dan dimuliakan darjatnya di sisi Allah. Semoga segala jasa beliau menghiburkan kita dahulu dan menghilangkan masalah stress di tempat kerja, sekolah, universiti, kawan-kawan, pak guard, makwe yang asyik nak ajak dating, aney tersilap order dan cikgu disiplin akan diganjari kebaikan buat Allahyarham.

Dengan pemergian anda, berjaya membuka pintu hati kami. Semoga ia akan menjadi kematian yang menghidupkan buat kita semua.

Allahumaghfirlahu warhamhu waafihi wa'fu anhu.

Ikhlas,
Lutfi Lokman
Bicara serius yang jarang-jarang.

Share on Google Plus

SOTONG KICAP

Blog yang memaparkan informasi terkini berkaitan politik, hiburan, isu semasa dan sebagainya untuk tatapan semua. Kami tidak bertanggungjawab terhadap sebarang pandangan ataupun maklumat yang disediakan.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments :

Catat Ulasan