“Malam ni kita panjat tangki jom!”
Masa aku belajar di Kolej Matrikulasi Johor (KMJ) dulu, antara perkara yang tualang boleh dilakukan ketika kebosanan di malam minggu adalah memanjat binaan tertinggi di dalam kawasan kolej, iaitu menara tangki air.
Menara tangki air di KMJ adalah jenis cendawan/UFO— tiang menara berbentuk silinder dan tangki air berbentuk gasing. Ia adalah kawasan larangan, maka ia diperimeter oleh pagar yang tinggi.
Malam tu aku salah seorang daripada geng aku ajak panjat tangki. Selama ni aku tak pernah ikut pun dia orang naik ke atas sana, namun entah kenapa malam itu aku terasa desakan nak lihat apa yang menariknya di atas sana sampai budak-budak ni sanggup ambil risiko tertangkap melanggar peraturan untuk ke sana.
Kebanyakan geng aku yang nak naik tangki malam tu, adalah budak sains hayat, jadi kami berkumpul di Blok B(blok sains hayat) walaupun secara idealnya, bertolak dari Blok C adalah lebih selamat kerana ianya lebih dekat. (Ketika itu, Blok C adalah blok kediaman pelajar lelaki)
“Macam biasa, tepat 12.20 malam, kita gerak.” kata Lan.
“Kenapa 12.20, bukan 12.30 ke? 12.00 ke?” soal aku.
“Sebab 12.20 pak guard habis ronda.” Jawab Lan.
“Kau pasti?” soal aku lagi
“Kau ni banyak tanyalah Chaku! Kau ikut je lah. Benda ni bukan kali pertama kita orang buat. Kita orang dah recce dah jadual pak guard ronda. 12 tengah malam, dia start ronda. Dia akan pusing dari Blok admin, ke padang, lepas tu Blok F, E, D, C, B, A, pastu patah balik ke pondok guard. Biasanya dalam 20 minit, habislah dia ronda. Faham? Ada lagi apa-apa nak soal?” terang Lan panjang lebar.
Aku geleng kepala. Pokjang dan Wandol pun geleng.
Seperti yang dirancang, tepat jam 12. 20 malam, kami segera merentas gelanggang bola keranjang di sebelah blok B untuk ke rendevous point kami yang pertama, iaitu di garaj bas. Ia terletak bersebelahan dengan kawasan tangki air. Dari sana, seorang-seorang akan lari ke pagar perimeter tangki dan panjat selaju mungkin.
Lan yang pertama lari menuju pagar tu. Apabila aku lihat dia panjat pagar setingi 6 kaki itu, hati aku jadi gemuruh. Sewaktu memanjat pagar, kami agak terdedah kepada mata-mata yang meliar. Jadi kami kena lakukannya secepat mungkin, tanpa mengabaikan keselamatan. Pagar itu tingginya 6 kaki, kalau jatuh, silap hari bulan boleh patah tulang.
Selepas Lan, PokJang dan Wandol menyusul. Kemudian giliran aku. Jantung aku berdetak laju, menendang-nendang dinding dada aku dari dalam. Bibir aku terasa kering. Tangan aku berpeluh.
“Woi! Cepatlah!” kelihatan memanggil aku tanpa suara. Namun aku boleh baca melalui gerak bibirnya. Dia sedang berdiri di bukaan empat segi yang aku kira pintu masuk ke menara berbentuk silinder itu. PokJang dan Wandol tidak kelihatan, mungkin dah masuk ke dalam menara tangki air.
Aku bulatkan tekad, gembeleng seluruh tenaga, dan meluru ke pagar. Tiba sahaja di pagar, segera jaring-jaring pagar digapai, lantas aku menampung diri sendiri ke atas. Dalam kalut, dan haru biru itu, aku rasakah seolah-olah seperti ada seseorang yang berada di belakang aku. Memerhatikan gerak-geri aku.
Tiba di atas pagar, aku melangkah kaki kanan ke dalam, diikuti dengan kaki kiri, dan langsung aku terjun ke bawah. Nak cepat punya pasal. Sebaik sahaja aku mendarat ke tanah, aku segera berdiri dan memalingkan kepala aku keluar pagar. Tiada sesiapa. Aku toleh kiri, kanan. Masih tiada sesiapa kelihatan.
Aku terus lari ke pintu masuk menara.
“Woi! Kau ni dah kenapa, Chaku? Jangan lengah-lengah.” kata Lan dengan suara berbisik sebaik sahaja aku masuk ke dalam menara. Aku cuma geleng kepala pada Lan.
Dalam menara ni tak ada lampu. Penglihatan kami mengharapkan lampu jalan raya yang melimpah masuk ke dalam menara melalui tingkap sempit dan panjang di dinding menara. Dengan ihsan cahaya tersebut, kelihatan tangga(monkey ladder) yang berdiri vertikal dari lantai ke bukaan di siling yang berada 15 kaki di atas.
╬═╬
╬═╬
╬═╬
╬═╬
╬═╬
╬═╬
╬═╬
╬═╬
╬═╬
╬═╬
╬═╬
╬═╬
╬═╬
╬═╬
╬═╬
╬═╬
Dhong! Dhong! Dhong!
Pokjang dan Wandol sedang memanjat tangga tersebut. Setiap kali kaki mereka memijak palang-palang besi tangga tersebut, terhasil bunyi besi bergegar. Ia bergema dipantul oleh dinding konkrit menara tesebut. Frekuensi gemaan itu membuatkan bulu roma di tangan aku meremang.
“Kau OK tak?” soal Lan lagi.
“OK. Aku OK. Aku cuma tak sangka tangga jenis macam ni.”
“Kenapa? Kau gayat?”
“Tak. Don’t worry. Aku OK.”
“OK. ” kata Lan seraya mencebik bibir dan menggangkat kedua-dua beah bahunya, sebelum mencapai tangga dan meruntun dirinya naik. Gerak-geri Lan menaiki tangga akan cermat dan tenang. Dentang-dentung besi tangga tu tidak berapa ketara. Aku cuba meniru tekniknya.
Tingkat 1. Keadaannya serupa dengan tingkat bawah, tapi tangganya berada sedikit di kiri, berbanding di kanan di tingkat bawah. Kami teruskan memanjat.
Tingkat 2. Tangga di kanan. Kami panjat lagi.
Tingkat 3. Tangga di kiri. Sepanjang memanjat tu, aku membisukan diri. Kepala aku asyik memikirkan perasaan yang aku alami masa panjat pagar tadi.
“Chaku!! Jangan berangan. Fokus! Fokus! Kita nak panjat terowong ni gelap. Kena pakai lampu telefon.” kata Wandol, menarik aku semula dari dimensi fikiran aku, kembali ke dunia nyata.
Tingkat 4. Tangga ke atas terletak di betul-betul di tengah-tengah menara. Tangga itu menuju ke satu lubang terowong di tengah-tengah syilling. Hitam pekat di dalam lubang itu. Bayangkan kau lihat ke dalam perigi yang gelap, cuma perigi ini ke atas, bukannya ke bawah.
Aku menyusul paling akhir. Sebaik sahaja masuk ke dalam terowong, nafas aku menjadi laju. Udara terasa seperti berat. Dada seperti sempit dan terhimpit. Mungkin kerana, terowong ini, gelap, sempit ia memberi kesan psikologi kepada aku. Tambahan pula aku dah memanjat 60 kaki tangga vertikal, mungkin sudah tiada stamina.
Aku berehat sebentar di dalam terowong itu untuk mengatur semula pernafasan sambil ditemani skrin lampu telefon aku. Muda-muda lagi stamina dah macam atuk-atuk. Aku dongak ke atas. Lan, Pokjang dan Wandol meneruskan panjatan. Tak berapa lama kemudian mereka dah berjaya keluar dari terowong itu.
Dhongg! Dhongg! Dhongg!
Kedengaran gema dentangan-dentang tangga besi. Gegarannya pada palang tangga terasa di jari-jemariku yang masih menggengam erat palang tersebut. Aku langsung dongak. Tiada sesiapa di atas aku. Rakan-rakan aku memang dah keluar dari terowong ni. Mereka dah naik ke atas bumbung menara tangki.
Jika tiada sesiapa di atas, mesti dentangan itu datang dari bawah, kan? Tapi mana ada orang selepas aku. Bulu roma aku merinding. Nafas aku tercungap-cungap macam ikan di darat. Jari-jemari aku terasa kebas. Aku boleh dengar degup jantung aku sendiri di gegendang telinga.
Siapa yang Sedang menaiki tangga ni? Jangan-jangan, pak guard tak?
Aku perlahan-lahan jauhkan diri dari tangga, suluh ke lampu telefon aku ke bawah dan menjenguk ke bawah di antara celah kelengkang aku. Tiada sesiapa. Aku jengah-jengah lagi. Memang tak ada orang. Mungkin dentangan itu tadi datang dari gerakan aku sendiri agaknya.
Aku terus sambung memanjat ke atas selaju mungkin.
Apabila tiba dipenghujung terowong itu, aku lekas-lekas panjat keluar. Kaki aku hampir tergelincir, namun aku berjaya stabilkan diri semula. Udara dalam ruang ini terasa sangat lembab. Bau klorin sangat kuat. Hawanya juga sangat sejuk, mengigit ke tulang.
Aku halakan lampu telefon ke sekeliling.
Itu kali pertama aku lihat binaan dalam tangki air. Terowong yang aku lalui tadi, sebenarnya terowong merentasi tangki air. Kiranya, di sekeliling terowong itu adalah air. empat aku berdiri itu adalah pelantar bulat ditengah-tengah tangki air tersebut. Radiusnya pelantar itu lebih kurang 1 kaki sahaja. Tiada railing disekeliling pelantar kecil tersebut. Jika aku tergelincir tadi, aku akan terjatuh dalam tadahan air yang gelap gelita yang entah berapa dalamnya.
Splash! Splash! Splash!
Eh? Budak-budak ni mandi dalam ni ke? Gila! Tak cuak ke mandi dalam gelap gelita ni? Hati kering betul. Sebab tu ke dia orang selalu naik ke atas ni? Sebab nak berenang dalam dalam tangki ni?
Aku suluh lampu ke dalam air. Hitam. Tak nampak apa-apa.
Cahaya lampu aku tu hanya terpantul semula, menghasilkan aura-aura cahaya yang menari-nari di siling tangki air. Kalau suruh aku turun dalam air dalam keadaan segelap ni, memang aku takkan turunlah.
“Woi Chaku! Buat apa kat dalam tu? Naik lah!”
Aku dongak ke atas. Terpacul kepala Lan, Pokjang dan Wandol dari bukaan di tengah-tengah siling. Untuk naik ke bumbung, ada satu lagi tangga vertikal menuju ke atas. Aku pun untuk panjat tangga itu dan keluar ke bumbung menara tangki air.
Sedang aku panjat, tiba-tiba aku rasa sesuatu yang basah di pergelangan kaki aku. Spontan, aku menoleh ke bawah lalu menyuluh di pergelangan kaki.
Di antara palang anak tangga, kelihatan wajah lesu seorang perempuan sedang mendongak. Rambut basahnya yang melingkar di pergelangan kaki aku. Kudrat yang bersisa dalam tubuh meluntur. Lutut melonglai.
Cebur!
Aku tergelincir daripada tangga, dan terhumban ke dalam air. Bila tubuh aku bersentuh dengan permukaan air, seluruh kulit aku bagai ditusuk sejuta jarum-jarum halus. Sejuknya bukan kepalang. Buih-buih halus merayap di permukaan kulit, mengapung ke atas mencari permukaan air.
Aku menggapai-gapai tangan. Kaki menendang-nendang. Cuba mengapungkan diri. Namun aku hilang orientasi. Buka mata, dunia sama gelap dengan menutup mata. Tak tahu mana utara mana selatan, mana timur mana barat.
Aku semakin tenggelam. Pergelangan kaki kiri aku terasa seperti dibelenggu cengkaman tangan manusia dan ia sedang menarik aku ke dasar.
Membayangkan lembaga yang aku terlihat tadi sedang menarik aku, buatkan aku bertambah panik. Aku cuba untuk bertenang dan padamkan imej menyeramkan itu daripada minda. Namun, apabila gelap menyelubungi, itu menjadi mustahil. Bila mata tak melihat, minda menjadi mata, dan mata minda aku sedang aktif mengulang tayang wajah itu.
“Tol…”
Aku cuba menjerit meminta tolong, namun sebelum sempat aku suara aku keluar, air sudah menceroboh masuk ke tenggorok. Larinks aku mengejang, menyebabkan nafas tersengkang.
Aku semakin panik.
Dada aku membara, kerana dahagakan oksigen. Kesedaran aku mengabur, kerana mula mengalami hipoksia. Otot-otot aku mengejang kerana tak mampu lagi jana tenaga melalui jalan anaerobik.
“Marilah… “
Kedengaran suara itu berbisik. Suara seorang wanita. Halus dan bernuasa menggoda. Terasa dada aku didakap kemas. Kemudian dakapan itu semakin kejap sehinggakan sisa udara di dalam paru-paru aku terhambat keluar dalam bentuk gelembung-gelembung udara dari mulut dan hidung aku.
“Bersemadilah kau di sini… “
Kata suara itu lagi. Aku tak melawan. Aku redha. Jika hari ini dan begini aku mati, maka aku merelakannya. Aku sudah tiada kudrat melawan. Tak mampu aku berjuang lagi. Selamat tinggal dunia.
“Allahuakbar! Chaku!”
Aku buka mata aku yang entah bila ditutup. Aku lihat ada limpahan sinar cahaya putih meremang ke arah aku dari suatu sudut. Dari putih chaya itu, terpacul tangan yang menghulur.
“Capai tangan aku, Chaku! Come on!”
Suara itu aku cukup kenal. Lan. Jazlan. Megat Muhammad Jazlan. Mendengar suara sahabat aku itu, tiba-tiba segala babak dalam kehidupan aku terlintas di fikiran. Hidup aku terlalu banyak perkara yang sia-sia. Banyak lagi perkara yang aku belum capai. Banyak lagi janji yang belum dikota.
Pada ketika ini kesedaran aku kembali menjelas. Nyawa aku yang tadinya malap, kembali menyala. Aku tak mahu mati hari ini. Ajal aku bukan hari ini!
Aku angkat tangan aku dan cuba capai tangan yang dihulurkan itu, terasa seperti amat berat. Namun aku gagahkan jua. Aku gunakan kaki untuk membantu aku mengapung ke arah cahaya tadi.
Akhirnya, tangan aku disambut oleh tangan yang menghulur tadi. Tangan itu meruntun aku ke atas. Harapan aku untuk terus hidup berputik. Namun dengan tidak semena-mena muncul tangan pucat dari dasar kegelapan mencengkam lengan aku dan merentap semula ke bawah.
Perlahan-lahan aku tenggelam semula.
Aku eratkan genggaman pada tangan yang sedang menarik aku ke atas. Aku berdoa pada Tuhan agar diberi lagi aku peluang untuk memperbaiki diri. Beri aku masa untuk berubah. Ini janji aku dari lubuk hati aku. Janji yang, demi Tuhan, akan aku kotakan.
Wallahi wabillahi watallahi.
Selesai sahaja sumpah itu, beberapa lagi pasang tangan dicebur ke dalam air dan memegang lengan aku, lalu ditariknya aku ke atas sehingga keluar ke permukaan air.
Lan, Wandol dan Pokjang bertungkus lumus membawa aku naik ke platform semula. Aku menarik nafas dalam-dalam. Lahap aku menghirup udara segar. Barulah aku tahu betapa hebatnya nikmat bernafas. Bila nafas aku kembali teratur, perkara pertama yang aku lakukan adalah memperbaharui syahadah aku.
Aku pun tak tahu kenapa aku berbuat demikian. Ia terasa sesuatu yang rasional untuk dilakukan ketika itu. Malahan selepas itu, entah dari mana datangnya, aku kembali mempunyai kudrat yang cukup untuk berdiri. Ajaib.
“Jom, kita turun lekas!” kata aku sambil tergopoh-gapah membawa diri aku ke tangga yang menghala ke bawah.
Laju langkah aku menuruni tangga sepanjang terowong tadi. Lan, Wandol, dan Pokjang menyusul rapat tanpa soal siasat. Sewaktu kami tiba sahaja di tingkat 4, kedengaran suara yang buat kami semakin bergegas turun.
“Heeee he he he”. Suara perempuan mengilai.
Kami turun separuh tangga, kemudian terjun. Turun separuh, terjun. Masa tu dah tak fikir pasal bising. Tak fikir pasal kantoi dengan pengawal. Kami cuma nak larikan diri dari makhluk jahanam tu.
Tiba di tingkat bawah, lintang pukang kami lari ke pagar. Panjat. Lompat. Pecut terus balik ke Blok B. Tak pandang kanan kiri. Tak pandang belakang.
Sampai di bilik. Aku terus buka pakaian, pakai tuala dan cerita semula pengalaman aku pada geng-geng yang lain. Taubat semua orang dah tak bak naik tangki lagi.
Malah beberapa hari aku tak mandi sebab terfikir apa yang ada dalam tangki air itu. Aku sebenarnya takut makhluk itu muncul dalam bilik air. Aku terbayang benda tu menyusur ke dalam saluran air, ke paip, kemudian menjelma keluar dari kepala pair atau pancuran, atau mungkin dari mangkuk tandas.
Seriau.
Aku nasihatkan agar kau orang jangan naik tangki tu. Ada benda tak baik di sana. Menunggu kau orang datang. Jangan mandi malam-malam. Jangan duduk lama-lama sangat dalam tandas. Jangan buat benda-benda tak elok dalam bilik air. Bila-bila masa sahaja ia boleh datang ziarah kau.
Ingat pesanan aku ni.
Oh ya! Kolam dekat sebelah Blok A dan sebelah Blok F tu pun kau hati-hati. Malam-malam, jangan asyik pandang area situ.
--
Kisah dari perkongsian Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan
Pengalaman seram diganggu hantu ketika panjat tangki air Kolej Matrikulasi Johor
5:38 PG
Hantu
,
Johor
,
Kamarul Ariffin Nor Sadan
,
KMJ
,
Kolej Matrikulasi Johor
,
Lemas
,
Pelik
,
Seram
,
Tangki Air
Edit
0 comments :
Catat Ulasan