Tukang kebun sekolah di tahan intai jiran mandi


TUKANG kebun sekolah ditahan di Tanjung Belanja, Parit, Seri Iskandar, semalam selepas dipercayai mengintai wanita yang juga jirannya ketika sedang mandi.

Lelaki berusia 31 tahun itu ditahan selepas mangsa berusia 43 tahun yang bekerja sebagai pembantu tadbir sekolah menyedari perbuatan tukang kebun berkenaan pada 6.20 pagi semalam.


Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah, berkata sebaik menyedari diintai, mangsa terus membuka tingkap bilik airnya dan nampak dengan jelas muka lelaki yang mengintainya.

“Mangsa mengenali lelaki terbabit yang juga menantu lelaki kepada jiran di belakang rumahnya.

“Mangsa terus menjerit dan suaminya yang berada di dapur terus membuka pintu belakang rumah dan turut melihat lelaki berkenaan tergesa-gesa mahu membuka pintu belakang rumahnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, suami mangsa kemudian memarahi lelaki terbabit, namun suspek menafikan melakukan perbuatan mengintai itu dan mangsa membuat laporan polis mengenai kejadian berkenaan.

Menurutnya, hasil siasatan awal polis, mangsa mendakwa sudah lama mengesyaki suspek menjalankan aktiviti mengintai, tetapi tiada bukti dan pada kali ini mangsa nampak jelas muka lelaki terbabit.

“Bahagian dapur rumah mangsa berhadapan dengan bahagian dapur rumah mentua suspek yang sudah didiami hampir 19 tahun.

“Pemeriksaan polis turut menemui kesan umpil pada besi aluminium tingkap bilik air mangsa dan susulan kejadian itu suspek ditahan di hadapan rumahnya 10.15 pagi semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana perbuatan mengaibkan.

“Ujian air kencing terhadap suspek sudah dijalankan dan hasilnya didapati positif syabu selain semakan turut mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau,” katanya.

Share on Google Plus

SOTONG KICAP

Blog yang memaparkan informasi terkini berkaitan politik, hiburan, isu semasa dan sebagainya untuk tatapan semua. Kami tidak bertanggungjawab terhadap sebarang pandangan ataupun maklumat yang disediakan.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments :

Catat Ulasan