Siapa Nasrah yang di dera oleh keluarga angkatnya?


BUKAN saja tidak mengetahui status diri dan keluarga kandung, malah remaja perempuan didera keluarga angkatnya.

Kisah memilukan itu berjaya dihidu selepas remaja dikenali sebagai Nasrah, 13, itu dirujuk pengurusan Hospital Sultan Ismail (HSI) ke Jabatan Kebajikan (JKM) pada 4 Februari lalu.

Difahamkan, mangsa diselamatkan polis selepas pihak berkuasa menerima aduan berkaitan kes penderaan sebelum pemeriksaan menemui kesan luka lama dan baru pada tubuhnya.

Perkara itu didedahkan Timbalan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Johor Bahru, Maghfurah Mohd Zahir mengenai keadaan remaja perempuan terbabit.

“Dia dirujuk pengurusan HSI ke JKM pada 4 Februari lalu dan difahamkan mangsa diselamatkan polis selepas menerima aduan berkaitan kes penderaannya.

“Ketika diserahkan kepada JKM, tubuh remaja perempuan itu dipenuhi dengan kesan luka lama selain kesan baru.

“Remaja perempuan itu juga kelihatan sugul dan perbualannya kurang lancar,” katanya.

Katanya, remaja perempuan itu dipercayai diserahkan oleh ibu kandung kepada keluarga angkat ketika berusia antara dua hingga tiga tahun.

Beliau berkata, hasil siasatan dijalankan JKM mendapati remaja berkenaan dalam keadaan normal dan tidak memiliki sebarang kecacatan fizikal dan mental.

“Bagaimanapun, siasatan mendapati dia tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri seperti kad pengenalan mahupun sijil kelahiran,” katanya.

Menurutnya, akibat ketiadaan dokumen pengenalan diri, remaja perempuan berkenaan tidak berpeluang belajar di sekolah.

Katanya, malah status warga negara remaja perempuan berkenaan juga kabur sehingga kini selain dia juga tidak mengetahui sebarang maklumat berkaitan asal usulnya termasuk tarikh lahirnya.

Maghfurah berkata, pihaknya difahamkan kes penderaan remaja berkenaan yang dilaporkan orang awam kepada pihak berkuasa juga di bawah tindakan polis.

Menurutnya, sepanjang menerima rawatan di hospital mahupun di institusi JKM, remaja perempuan itu tidak menerima sebarang kunjungan daripada waris mahupun keluarga angkat yang tinggal di Johor Bahru.

“Dia dikenali sebagai Nasrah dan dia berharap keluarga kandungnya terutama ibunya tampil memberi maklumat berkaitan kelahirannya.

“Sehingga kini JKM hanya memperoleh maklumat daripada jiran remaja perempuan itu yang menyatakan ibu Nasrah berasal dari Sabah dan berketurunan Suluk.

“Bagi membantu remaja berkenaan pulih daripada trauma dialami, JKM juga menyediakan perkhidmatan kaunseling,” katanya.

Orang ramai yang memiliki maklumat berkaitan ibu kandungnya mahupun waris Nasrah diminta menghubungi Pegawai Pelindung JKM, Mastura Mohd Ismail di talian 07-2232606.

Share on Google Plus

SOTONG KICAP

Blog yang memaparkan informasi terkini berkaitan politik, hiburan, isu semasa dan sebagainya untuk tatapan semua. Kami tidak bertanggungjawab terhadap sebarang pandangan ataupun maklumat yang disediakan.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments :

Catat Ulasan