Umpan gaji RM5000 helah majikan hidung belang untuk dapat sedap!


MENGAMBIL lapan pekerja wanita muda, bujang dan cantik kononnya sebagai pembantu peribadi dengan gaji lumayan sehingga mencecah RM5,000 sebulan.

Wanita ini bukan hanya bekerja di pejabat untuk melakukan kerja pentadbiran, namun perlu menemani majikannya berhibur, keluar makan bersama selain pergi bercuti ke luar negara.

Namun selepas puas ‘memakai’ wanita-wanita ini, sebuah syarikat yang berdaftar sebagai agensi pelaburan dan hartanah memecat lapan pekerjanya sejak April tahun lalu secara berperingkat tanpa sebarang notis dan pampasan.

Difahamkan, pemilik syarikat itu, seorang lelaki warga China hanya melakukan sesi temuduga melalui panggilan video sahaja sebelum semua mangsa ditawarkan jawatan sebagai pembantu peribadi.


Salah seorang mangsa, Lock, 25, yang berasal dari ibu kota berkata, dia mula bekerja dengan syarikat berkenaan pada Mac tahun lalu sebelum dibuang kerja pada pada Januari lalu tanpa sebarang notis, pampasan dan bayaran kerja lebih masa.

“Tugas kami semua adalah sama. Majikan kami akan memilih salah seorang antara kami untuk menemani mereka berhibur di karaoke, ke pusat hiburan dan menemani mereka makan sehingga ke awal pagi.

“Selain tugas pentadbiran seperti membuat kajian mengenai pelancongan di negara ini, kami juga turut dibawa bercuti bersama ke luar negara,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Wisma MCA, di sini, hari ini.

Salah seorang mangsa, Sarah, 22, berkata, dia bekerja dengan syarikat itu di cawangan di Johor bermula Disember 2018 dan dibuang kerja pada Januari lalu.

“Sehingga kini saya tidak dapat menghubungi mereka untuk mendapatkan penjelasan. Kami pernah ke Pejabat Buruh untuk menyelesaikan masalah ini, namun wakil dari syarikat berkenaan tidak memberikan kerjasama,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, kes berkenaan adalah serius dan bukannya dakwaan palsu mangsa, kerana dia sendiri sudah berhubung dengan majikan terbabit.

“Saya sudah bercakap dengan majikan mereka untuk berjumpa dan membincangkan perkara ini, namun mereka tidak hadir seperti dijanjikan. Menurut pemilik syarikat, mereka menyerahkan perkara itu kepada peguam mereka.

“Saya mahu berhadapan dengan mereka melalui undang-undang. Perkara ini mesti dihentikan, jika tidak semakin ramai wanita yang menjadi mangsa kepada syarikat ini,” katanya.

Share on Google Plus

SOTONG KICAP

Blog yang memaparkan informasi terkini berkaitan politik, hiburan, isu semasa dan sebagainya untuk tatapan semua. Kami tidak bertanggungjawab terhadap sebarang pandangan ataupun maklumat yang disediakan.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments :

Catat Ulasan