Tahun lalu, kisah kedaifan Pusat Jagaan Titian OKU Nur mendapat perhatian seluruh negara dan menjadi viral di media sosial selepas pengurusnya tampil memohon bantuan bagi meneruskan kelangsungan pusat yang menempatkan warga tua dan golongan orang kurang upaya (OKU) mental.
Kesempatan mengunjungi pusat itu baru-baru ini membawa penulis menyelami hati wanita cekal yang menjadi tulang belakang pusat jagaan itu, Normah Adlan.
Pengorbanannya bukan calang-calang, jika wanita seusianya lebih selesa menghabiskan masa di rumah membesarkan anak atau meningkatkan kerjaya, dia memilih untuk membantu lebih 30 penghuni yang memerlukan perlindungan dan perhatian rapi di pusat itu.
Kebanyakan mereka adalah warga tua yang tidak berdaya, berpenyakit dan menghadapi masalah kemurungan serta golongan OKU mental dan fizikal yang tidak mendapat sebarang pendidikan awal.
Meskipun Normah mengakui menjaga mereka bukan tugas mudah, dia bertuah kerana usahanya itu sentiasa mendapat sokongan suami dan tiga anaknya.
Ada waktu dia seakan-akan lelah dengan dugaan dan ujian yang menimpa dalam usahanya membela nasib penghuni di situ, tapi dia kembali bersemangat mengenangkan keluarga yang tidak jemu membantunya.
“Anak sulung dan anak kedua tidak kekok membantu saya di sini sebaik saja mereka habis kelas di kolej. Walaupun pada usia remaja seperti itu, mereka ada pilihan untuk menghabiskan masa bersama rakan sekolej, tapi alhamdulillah mereka memilih untuk bersama saya membantu mana yang perlu.
“Selain itu, saya cukup beruntung kerana empat kakitangan yang setia bersama saya menguruskan keperluan penghuni di pusat ini. Mereka sudah saya anggap seperti ahli keluarga sendiri,” katanya.
Selama lebih 10 tahun menguruskan pusat itu, Normah tidak terlepas berdepan detik memilukan terutama apabila menerima penghuni warga tua tidak berdaya yang ditinggalkan keluarga sendiri di hospital selain bayi dan kanak-kanak cacat yang tidak dimahukan keluarga.
Paling berbekas di hatinya ketika menerima penghuni warga emas beberapa tahun lalu yang dirogol dan mengalami kecederaan serius hingga terlantar di hospital.
“Ketika ditempatkan di pusat ini, tiada waris yang tampil mungkin kerana arwah hidup sebatang kara sehinggalah menghembuskan nafas terakhir di pusat ini dua tahun lalu. Kisahnya benar-benar meninggalkan kesan mendalam kepada saya dan setiap kali terkenangkan arwah, hati saya sebak.
“Ia menjadi pengajaran berguna betapa pentingnya saya, keluarga dan kakitangan di sini untuk sentiasa bersyukur walaupun terpaksa menguruskan pusat ini dalam keadaan serba kekurangan. Peristiwa seumpama ini pasti membuatkan kami lebih bersemangat untuk membantu mereka yang tidak berdaya ini,” katanya.
Berkongsi sejarah penubuhan pusat itu, Normah berkata, pusat itu ditubuhkan pada 2005 di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur sebelum berpindah di sebuah rumah di Taman Tasik Titiwangsa.
Bagaimanapun, disebabkan masalah tertentu, penghuni wanita dan kanak-kanak dipindahkan ke Kampung Melayu Batu 16, Rawang, Selangor.
Penghuni makin ramai, sewa makin mahal
Normah berkata, pusat itu amat memerlukan sebarang bentuk bantuan daripada mana-mana pihak mahupun individu yang sudi memberi bantuan dan perhatian demi keselesaan warga emas dan OKU di sini.
Katanya, semakin ramai warga tua dan OKU menghuni rumah itu kerana tiada waris yang mengambil mereka dari hospital yang terpaksa menerima ramai pesakit baru setiap hari.
Selain kos yang semakin meningkat katanya, rumah sedia ada tidak dapat menampung penghuni yang semakin ramai dengan kos sewaan tinggi.
Selain menyediakan khidmat penjagaan 24 jam kepada golongan warga emas dan OKU mental yang memerlukan, mereka juga menawarkan perkhidmatan penjagaan secara harian seperti penjagaan pada waktu pagi hingga petang.
Terdahulu, ketika menjejakkan kaki di pusat itu, penulis disapa beberapa penghuni ‘istimewa’. Ada yang datang memeluk penulis dan tidak mahu dilepaskan, tidak kurang juga yang begitu peramah walaupun tutur kata mereka kurang difahami.
Melihat telatah mereka, penulis tersenyum sendiri dan tentu saja naluri wanita ini tersentuh. Ada penghuni yang memegang erat bungkusan beg berisi barangannya seakan-akan menanti orang tersayang membawanya keluar dari pusat itu.
Lebih tersentuh hati apabila melihat kanak-kanak lelaki OKU seusia anak penulis yang dikatakan ditinggalkan tanpa khabar berita di rumah itu sejak bayi kerana ibu bapanya enggan menerima keadaan diri yang serba kekurangan.
Selepas kisah pusat jagaan itu menjadi viral, ia terus mendapat perhatian badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan individu yang tampil menyalurkan bantuan.
Normah berkata, pusat itu ada menerima bantuan daripada Pusat Zakat Baitulmal Wilayah sebanyak RM8,000 setahun, namun jumlah itu tidak mencukupi bagi menanggung keperluan lebih 30 penghuninya.
Sebelum ini mereka hanya menerima bantuan daripada beberapa keluarga penghuni, selain menggunakan wang sendiri hasil perniagaan kecil-kecilannya.
Antara yang diperlukan termasuk rumah wakaf, susu (Pediasure Vanila, Ensure), lampin pakai buang dewasa dan kanak-kanak, barangan dapur, makanan dan ubat-ubatan.
Sementara itu, pensyarah Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi, Fatin Nurshida Zakaria ketika ditemui bersama beberapa pelajarnya berkata, pusat itu dipilih kerana mahu mencari kelainan berbanding pusat jagaan lain seperti rumah orang tua dan anak yatim yang sudah biasa dikunjungi atau sering mendapat perhatian.
Kunjungan itu bertujuan meninjau kawasan bagi merancang program khidmat masyarakat yang akan dijalankan pelajarnya bulan depan.
“Tidak ramai yang sanggup mengorbankan masa dan tenaga untuk mewujudkan rumah jagaan seperti ini, jadi saya mahu pelajar saya mendekati golongan ini dan belajar sesuatu daripada pengalaman mereka menguruskan program khidmat masyarakat itu nanti.
“Selain itu, hubungan yang terjalin antara pelajar dan penghuni pusat itu diharap dapat berterusan. Walaupun sebagai pelajar mungkin mereka tidak mampu menyumbang dari segi kewangan, jika mereka dapat sumbangkan tenaga dan masa mereka sudah mencukupi dan mendapat ganjaran pahala, insya-Allah,” katanya.
Pihak yang ingin membantu boleh menghubungi Normah di talian 012-6731816 atau mengunjungi Pusat Jagaan Titian OKU Nur di No 78, Jalan Sentosa, Kampung Melayu Batu 16, Rawang 48000 Selangor manakala sumbangan boleh dihulurkan menerusi akaun CIMB Pusat Jagaan Titian OKU Nur, 8000519387.
0 comments :
Catat Ulasan