Kisah cinta hingga akhir hayat Datuk Noriah Kasnon dan Tuan Asmuni


Datuk Noriah Kasnon dan Tuan Asmuni Abdullah adalah lambang kisah cinta abadi. Bertemu ketika zaman kanak kanak, jatuh cinta, namun terpaksa berpisah kerana desakan keluarga. Selepas lebih 30 tahun menempuh kehidupan berasingan, membina keluarga sendiri dengan jarak beribu-ribu kilometer, ternyata cinta mereka tetap kuat. 

Bagi Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon dan suami, Tuan Asmuni Abdullah, kedua-duanya 52, tidak terdaya melawan takdir Allah apabila peluang kedua mereka untuk mengecapi kebahagiaan hanya bertahan lapan bulan. Ajal maut jodoh dan pertemuan ketentuan yang Maha Kuasa. Mereka sama-sama terkorban dalam tragedi helikopter malang di Sarawak pada Khamis 5 Mei 2016. 

Kekasih zaman kanak-kanak ini baru sahaja berkahwin pada September 2015 selepas berhubung semula melalui Facebook. Adik Datuk Noriah, Saiful Baharim berkata, beliau masih ingat percintaan pasangan itu tidak direstui oleh ibu mereka. Mereka belajar di Sekolah Kebangsaan Sungai Burong dan merancang untuk berkahwin selepas tamat sekolah menengah, namun ibu tidak membenarkannya kerana pelajaran lebih penting. 

Akhirnya, cinta mereka terkubur dan masing-masing membawa haluan sendiri. Tuan Asmuni memilih ke Amerika Syarikat untuk menyambung pengajian dalam jurusan seni bina manakala Datuk Noriah pula mengambil jurusan undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Kedua-duanya terputus hubungan dan Datuk Noriah kemudian berkahwin dan mempunyai lima orang anak daripada tiga perkahwinan, termasuk anak angkat yang berusia tiga tahun. 


Manakala Tuan Asmuni pula mempunyai empat orang anak dan menetap di New York selepas menamatkan pengajiannya. Perhubungan pasangan itu hanya disambung semula pada awal tahun lalu ketika Datuk Noriah memulakan perhimpunan untuk alumni sekolah rendah beliau melalui Facebook. Menyedari bahawa mereka masih mempunyai perasaan antara satu sama lain, mereka terus berhubung semula dan akhirnya berkahwin pada September lalu. Ini adalah sebuah kisah cinta abadi kerana mereka suka antara satu sama lain sejak kecil. 

Kakak Datuk Noriah, Sunarsih, 55, berkata adiknya lebih gembira selepas mengahwini Tuan Asmuni dan telah menyuarakan hasrat untuk berhenti dari politik bagi memberi tumpuan kepada keluarganya dan ini merupakan penggal terakhir beliau sebagai Ahli Parlimen Sungai Besar.

Gambar terakhir dari dalam helikopter ini dihantar oleh Tuan Asmuni kepada salah seorang rakan rapat beliau sebelum kejadian yang meragut nyawa pasangan suami isteri ini.

Al-fatihah.

Share on Google Plus

SOTONG KICAP

Blog yang memaparkan informasi terkini berkaitan politik, hiburan, isu semasa dan sebagainya untuk tatapan semua. Kami tidak bertanggungjawab terhadap sebarang pandangan ataupun maklumat yang disediakan.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments :

Catat Ulasan