Skanking Sandwich istimewa hanya di Kota Kinabalu


Ketika ramai memilih pekerjaan tetap demi masa depan yang lebih terjamin, seorang kakitangan kerajaan negeri Sabah di bandar raya ini sanggup berhenti kerja untuk mengusahakan perniagaan sandwic secara dalam talian.

Rodney Jammy, 31, pernah bekerja di sebuah agensi kerajaan negeri selama enam tahun sebelum meletakkan jawatan pada akhir tahun lalu bagi mencabar kemampuan diri dalam bidang perniagaan secara lebih serius.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, dia pernah berniaga secara sambilan dengan membantu rakan menjual barangan peribadi serta pakaian, namun tidak bertahan lama kerana sibuk dengan kerja hakiki.

"Ketika bekerja dulu, ada satu sudut khas di pejabat untuk kakitangan yang mahu menjual makanan. Bagaimanapun, hampir semua makanan yang dijual adalah jenis berat seperti nasi dan mi.

"Dari situ, timbul idea untuk saya menjual sandwic di pejabat kerana ia sesuai dinikmati oleh semua golongan serta makanannya tidak terlalu berat, selain boleh dinikmati pada bila-bila masa termasuk di pejabat," katanya kepada BH Plus.

Rodney berkata, melihatkan sambutan menggalakkan daripada rakan sepejabat terhadap sandwich dijualnya, dia kemudian mengambil keputusan berniaga sendiri dengan promosi dilakukan secara dalam talian.

"Saya berani berbuat demikian kerana saya percaya semua orang suka makan sandwic berikutan ia mudah disediakan, sedap dan sesuai untuk semua lapisan umur.

"Pada mulanya keluarga terutama isteri terkejut apabila diberitahu mengenai keputusan saya berhenti kerja dan menjalankan perniagaan terbabit, namun tidak lama selepas itu mereka dapat menerima keputusan itu selepas melihat kesungguhan saya," katanya.

Memiliki kelulusan Sarjana dalam Sains Kimia Industri dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Rodney berkata, dia mengambil masa sebulan untuk menjalankan kajian berkaitan pemasaran dan jenis sandwic yang mahu dipasarkan.

"Saya memulakan perniagaan pada Februari lalu dan memilih nama Skanking Sandwich sebagai jenama produk. Skanking adalah sejenis tarian dalam aliran muzik ska dan secara kebetulan saya juga peminat muzik ska sehingga kini.

"Setakat ini, saya hanya menjual tiga jenis sandwich iaitu tuna, telur dan hirisan ayam dengan kebanyakan pelanggan terdiri daripada kakitangan kerajaan dan swasta yang memesannya untuk jamuan atau hidangan selepas mesyuarat di pejabat," katanya yang dibantu seorang pekerja.

Rodney berkata, harga semua sandwich dipasarkannya adalah mengikut saiz kotak pembungkusan.



"Bagi 12 keping sandwic saiz sederhana ia dijual pada harga RM25 sekotak manakala 24 biji untuk saiz besar RM35 sekotak, selain pelanggan juga boleh memilih gabungan semua jenis sandwich pada saiz besar dengan harga RM45 sekotak," katanya.

Dia juga kini mampu menghasilkan lebih 300 sandwic sehari, sekali gus meraihkan keuntungan kira-kira RM3,000 sebulan.

Berkongsi mengenai perancangan masa depannya, Rodney yang baru mendaftar bagi menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah berkata, dia merancang mengukuhkan jenama Skanking Sandwich dalam tempoh dua tahun akan datang.

"Untuk jangka panjang iaitu lima tahun akan datang, saya bercadang membuka premis, mungkin bermula dengan kios atau kafe di pusat beli-belah utama sekitar bandar raya ini.

"Jika mendapat sambutan yang menggalakkan, saya merancang membuka cawangan di negeri lain pula. Apa yang pasti, kafe itu nanti pastinya berkonsepkan 'house of sandwic' yang menghimpunkan pelbagai jenis pilihan sandwic yang sesuai untuk semua golongan serta peringkat umur," katanya.

 Klik untuk tempahan!


Untuk tempahan di sekitar Kota Kinabalu, silakan ke website www.skankingsandwich.com

Share on Google Plus

SOTONG KICAP

Blog yang memaparkan informasi terkini berkaitan politik, hiburan, isu semasa dan sebagainya untuk tatapan semua. Kami tidak bertanggungjawab terhadap sebarang pandangan ataupun maklumat yang disediakan.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments :

Catat Ulasan