Malaysia lubuk arak tiruan! Demand tinggi wey.

Malaysia lubuk arak tiruan. Itu adalah keadaan terkini apabila 200 ke 250 kontena arak tiruan memasuki negara ini secara haram sebulan melalui tiga pelabuhan utama negara di selatan, utara dan Pelabuhan Klang.


Difahamkan sejak Mei tahun lalu, 3,800 kontena arak tiruan memasuki pasaran negara ini mengakibatkan kerugian RM500 juta sebulan.

Sumber berkata, kegiatan haram yang mengakibatkan kerugian besar kepada negara dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia itu didakwa didalangi enam syarikat tempatan yang mengaut keuntungan antara RM7 juta hingga RM8 juta sebulan hasil jualan arak dan bir tiruan kononnya dibawa masuk ke negara ini adalah untuk disimpan sementara sebelum dieksport semula.

Difahamkan, meskipun semua syarikat itu memiliki lesen mengimport minuman keras yang sah dikeluarkan kastam namun mereka menyalah gunakannya untuk tujuan menyeludup arak dan bir tiruan ke negara ini dan bukan mengimport ke negara lain mengikut peruntukan undang-undang.

Katanya, semua syarikat itu memiliki lesen import sah masing-masing sejak Mei 2017 menggunakan alamat syarikat lain bagi tujuan pendaftaran perniagaan.

“Selain itu, mereka hanya memiliki pejabat berbentuk virtual (maya) dan barisan pengurusan syarikat palsu yang direka semata-mata untuk mendapatkan lesen import daripada kastam.

“Pemeriksaan pihak berkuasa mendapati akan ada individu yang menjawab panggilan di talian atau alamat syarikat yang dikemukakan ketika membuat pendaftaran perniagaan dan mendakwa mereka masih beroperasi namun sekiranya pemeriksaan mengejut dilakukan ke premis itu mendapati pejabat itu sebenarnya tidak wujud,” katanya.

Menurutnya, modus operandi digunakan syarikat itu adalah dengan mengimport arak dan bir tiruan dari China, Vietnam dan Thailand, ditransit di Singapura sebelum masuk ke Malaysia.



“Semua stok arak dan bir tiruan itu disimpan di beberapa gudang di Johor, Pulau Pinang dan Pelabuhan Klang.

“Semua barangan ini disembunyikan dalam gudang untuk diseludup keluar ke pasaran tempatan tanpa membayar cukai dan duti import.

“Aktiviti penyeludupan ini dilakukan dengan mengisi arak dan bir ke dalam lori bonded yang konon diikrar sebagai barangan dari Jepun sebelum diseludup keluar melalui pelabuhan. Ada juga arak dan bir disembunyikan di sebalik barangan dari Jepun bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya.

Jelasnya, ada kontena arak dan bir diseludup keluar secara terus dari gudang kononnya dengan bantuan pihak berkuasa di pelabuhan.

“Pada masa sama, kedua-dua syarikat ini membuat pengikraran menggunakan dokumen palsu semua stok itu dieksport keluar dari Malaysia ke negara seperti Thailand, Singapura, Jepun dan negara lain.

“Dokumen diperlukan untuk proses mengeksport barang dari pelabuhan sebenarnya banyak namun semua syarikat ini, seperti menikmati keistimewaan. Apa tidaknya mereka mengepilkan hanya beberapa dokumen auta untuk proses eksport,” katanya.

Menjelaskan perkara itu sumber berkata sebelum ini, syarikat pengeluar bir tempatan pernah membuat aduan kepada kastam mengenai negara ini menjadi lubuk arak tiruan yang turut menjejaskan kesihatan orang namun tiada tindakan diambil berikutan mereka kebal dari tindakan pihak berkuasa.

Selain itu, katanya ada juga syarikat pengangkutan tempatan yang mendedahkan auta dan modus operandi digunakan semua syarikat itu sebelum membuat aduan kepada kastam.

“Syarikat pengangkutan tempatan mendakwa surat rasmi mereka digunakan sebagai dokumen palsu syarikat itu namun tiada tindakan diambil ke atas kedua-dua syarikat berikutan wujud faktor pengaruh daripada pihak tertentu.

“Aktiviti ini disyaki didalangi individu orang kenamaan (VIP) bergelar Datuk yang didakwa memperoleh komisen bernilai ratusan ribu setiap bulan.

“Tanpa pengaruh VIP itu sukar bagi kedua-dua syarikat berkenaan memperoleh lesen import,” katanya.

Sementara itu, tinjauan ke alamat kedua-dua syarikat mendapati satu daripadanya adalah pejabat kosong di Pusat Komersial Sunwaymas di Petaling Jaya manakala yang kedua pula di Damansara Intan tertera pada papan tanda kecil milik syarikat itu di hadapan sebuah premis perniagaan lain.

Risikan mendapati kedua-dua syarikat itu hanya mempergunakan alamat milik syarikat lain dan mereka hanya beroperasi secara virtual tanpa pejabat sahih.

Share on Google Plus

SOTONG KICAP

Blog yang memaparkan informasi terkini berkaitan politik, hiburan, isu semasa dan sebagainya untuk tatapan semua. Kami tidak bertanggungjawab terhadap sebarang pandangan ataupun maklumat yang disediakan.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments :

Catat Ulasan