Kecoh tentang Pokemon GO! Ketahui beberapa fakta mengenainya


Pokemon, nama legenda yang mencetus revolusi dalam dunia permainan video klasik sehingga hari ini. Bagi anak muda era 1990-an, kita mengimpikan untuk menjadi pelatih Pokemon di dunia realiti namun impian itu hanya terkubur disebabkan kemunduran teknologi ketika itu.

Namun kini, anda boleh tersenyum lega dengan kehadiran Pokemon Go, sebuah permainan mudah alih dari Niantic yang membolehkan anda menjadi pelatih Pokemon di dunia nyata dan memburu makhluk digital ini di serata dunia dengan hanya menggunakan telefon pintar.

Menggunakan teknologi ‘augmented reality’, anda hanya perlu aktifkan GPS di telefon pintar dan aplikasi ini akan mengesan Pokemon di sekeliling kedudukan anda dan memberi notifikasi di skrin.

Jika Pokemon ditemui, kamera belakang telefon pintar akan menayangkan Pokemon di skrin sekali gus membolehkan anda menangkapnya menggunakan Pokeball dengan sokongan fungsi ‘swipe’. Ia seolah-olah anda melihat Pokemon di dunia nyata.

Yang menariknya, semakin jauh anda berjalan, semakin banyak Pokemon jenis berbeza boleh ditemui. Pendek kata, aplikasi ini menggalakkan anda meneroka setiap pelosok kota, kampung mahupun lokasi belum pernah dijejaki.

Pokestops dan Gimnasium


Dua elemen ini akan ditemui di peta anda. Pokestops berbentuk kiub biru dan selalunya dijumpai di kawasan penting seperti monumen, bank mahupun pusat komuniti.

Di sini anda boleh mendapatkan posyen, inkubator telur dan lain-lain. Gimnasium pula boleh diakses pada ‘level’ kelima dan di sini anda menempatkan Pokemon untuk bertarung.

‘Level’ anda boleh dinaikkan dengan menangkap Pokemon dan lebih banyak ‘experience’ diperoleh apabila anda menangkap Pokemon yang lebih hebat jenisnya ataupun dengan sekali balingan Pokeball.

Stardust dan gula-gula


Pokemon lebih kuat apabila ia berevolusi dan memiliki kuasa berlawan (CP) yang tinggi. Memberi makan Stardust dan gula-gula kepada Pokemon mampu meningkatkan kuasa mereka.

Apabila anda berpuas hati maka boleh menempatkan mereka di gimnasium untuk mempertahankan reputasi. Pilih salah satu daripada tiga kumpulan iaitu Mystic, Valor dan Instinct. Sudahkah anda bersedia menguatkan pengaruh pasukan masing-masing? Penulis tidak sabar menunggu kemunculannya.

Walaupun belum dirasmikan di Malaysia, Pokemon Go sudah pun popular di serata dunia apabila meraih kedudukan pertama di App Store Amerika Syarikat. Untuk peminat fanatik, jangan risau ia dijangka memasuki pasaran Malaysia untuk iOS dan Android dalam masa terdekat.

Niantic turut memperkenalkan Pokemon Go Plus berharga AS$34.99 (RM139) untuk keselesaan pemain memburu Pokemon kelak. Peranti ini boleh dipakai di pergelangan tangan dan akan memberikan notifikasi jika ada Pokemon berdekatan sekali gus mengelakkan pelatih melihat skrin telefon pintar sepanjang masa.

Tip bermain Pokemon GO:


• Jenis Pokemon bergantung kepada kedudukan geografi. Sebagai contoh, anda pasti menjumpai Pokemon jenis air di kawasan sungai, pantai mahupun lopak air!

• Tangkaplah Pokemon walaupun sama jenisnya. Ia boleh ditukarkan kepada gula-gula untuk meningkatkan kekuatan Pokemon utama dalam koleksi ataupun mengubah bentuk (evolusi).

• Nikmati lebih keseronokan dengan meneroka kawasan lebih jauh! Jika anda mempunyai basikal, pasangkan telefon pintar dan aktifkan aplikasi Pokemon GO kemudian kembaralah mencari Pokemon!

• Abaikan Bulbasaur, Charmander dan Squirtle sebagai Pokemon permulaan. Mula berjalan dalam jarak 500 meter hingga 700 meter dan Pikachu boleh ditemui!

• Gunakan modul penarik (lure module) untuk menarik lebih banyak Pokemon datang ke lokasi anda. Hati-hati kerana pelatih lain turut mendapat manfaat ini. Jadi anda perlu bergegas menangkap Pokemon berkeliaran sebelum direbut pemain lain!

• Sudah tentu apabila berjalan memburu Pokemon, pandangan anda sentiasa pada skrin telefon pintar. Hati-hati apabila berjalan kerana mungkin anda tidak sedar akan bahaya sekeliling seperti kenderaan lalu-lalang.

Share on Google Plus

SOTONG KICAP

Blog yang memaparkan informasi terkini berkaitan politik, hiburan, isu semasa dan sebagainya untuk tatapan semua. Kami tidak bertanggungjawab terhadap sebarang pandangan ataupun maklumat yang disediakan.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments :

Catat Ulasan