WeChat lubuk perangkap gadis sekolah


Kuala Lumpur: Aplikasi 'WeChat' antara aplikasi sosial paling kerap digunakan pedofilia untuk mencari mangsa pada 2015, berbanding laman media sosial lain.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Ong Chin Lan berkata, dalam tempoh itu, 138 daripada 184 kes kanak-kanak mengenali pelaku pedofilia di seluruh negara melalui WeChat.

"Ia diikuti berkenalan di Facebook sebanyak 35 kes, WhatApps enam kes manakala selebihnya BeeTalk," katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini,

hari ini.

Beliau berkata aplikasi berkenaan memudahkan kanak-kanak bawah umur menggunakannya mencari kenalan tanpa sebarang tapisan serta tidak perlu 'jemputan' daripada luar.

Apabila mereka menggunakan aplikasi ini tanpa kawalan orang dewasa, (mereka) akan mudah dieksploitasi secara negatif oleh pelaku pedofilia.

Menurutnya, apabila kanak-kanak memasuki media sosial mereka akan terdedah dengan individu tidak dikenali seperti pelaku pedofilia yang kemudiannya mula 'menawan' mereka menggunakan ayat manis.

“Susulan itu, selepas berkenalan dengan pelaku, mangsa dibawa keluar berjalan sebelum dirogol.

“Mereka (pelaku pedofilia) menyasar kanak-kanak berumur antara 12 hingga 15 tahun kerana dalam usia begini, mereka seperti baru mendapat kebebasan daripada kawalan ibu bapa," katanya.

Menurut Ong, pelaku pedofilia dikelaskan dalam tiga kategori iaitu meminati kanak-kanak lelaki, meminati kanak-kanak perempuan dan menyukai kedua-dua

jantina.

"Saya menasihatkan ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak bawah umur memantau tingkah laku anak mereka ketika melayari internet supaya tidak mudah berkenalan dengan orang asing di media sosial.

"Mereka (kanak-kanak bawah umur) perlu diberi perhatian dan didikan agama bagi mengelak menjadi mangsa pelaku pedofilia," katanya.

Share on Google Plus

SOTONG KICAP

Blog yang memaparkan informasi terkini berkaitan politik, hiburan, isu semasa dan sebagainya untuk tatapan semua. Kami tidak bertanggungjawab terhadap sebarang pandangan ataupun maklumat yang disediakan.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments :

Catat Ulasan