TMJ bantah rancangan isu logo penajaan FAM dan FMLLP


Penaung Diraja Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak bersetuju dengan rancangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) yang mahu menetapkan ada dua logo - Liga Super dan penaja liga - pada jersi pasukan bersaing dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) berkata, adalah tidak wajar setiap pasukan perlu mengikut ketetapan FAM dan FMLLP ketika mereka sepatutnya lebih mengutamakan penaja sendiri. Kata Tunku Ismail, keutamaan harus diberikan kepada penaja pasukan masing-masing kerana mereka yang membantu dalam memastikan setiap pasukan mempunyai sumber kewangan kukuh.

“Lebih baik jika logo Liga Super dan logo penaja liga disatukan bagi memberi ruang kepada jersi kami untuk mempunyai logo penaja sendiri. Malah, saya menyifatkan menjadi hak kami untuk menyusun atur penaja pada jersi pasukan.

“Sebagai kelab, keutamaan mesti kepada penaja yang memberi sumbangan terhadap pembangunan bola sepak kami dan mereka perlu diberikan penghormatan sewajarnya,” kata Tunku Ismail menerusi entri terbaharu di laman rasmi Johor Southern Tigers, semalam.

Tunku Ismail menegaskan penajaan daripada penaja Liga M hanya bernilai RM1 juta dan dianggap tidak relevan untuk diberi penghormatan. Katanya, penaja yang menaja Johor DT untuk mengharungi kempen Liga M musim depan menyumbang puluhan kali ganda lebih besar daripada jumlah berkenaan.

“Sekali lagi saya tegaskan lebih baik disatukan logo Liga Super dan logo penaja liga. Namun, jika masih hendak meletakkan juga pelbagai logo secara berasingan, mungkin boleh diletakkan sebanyak mungkin pada jaket pegawai FMLLP dan FAM,” kata Tunku Ismail.

Share on Google Plus

SOTONG KICAP

Blog yang memaparkan informasi terkini berkaitan politik, hiburan, isu semasa dan sebagainya untuk tatapan semua. Kami tidak bertanggungjawab terhadap sebarang pandangan ataupun maklumat yang disediakan.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments :

Catat Ulasan