Gadis mekanik dari Chendering ini tarik perhatian


Rakaman videonya membaiki brek kereta tular di media sosial hingga menyebabkan ada netizen menggelarnya sebagai gadis bengkel serta sanggup meletakkan hantaran setinggi RM20,000 kepada Nor Sakira Awee, 20.

Bagaimanapun, gadis itu hanya tersenyum membaca komen netizen serta menganggapnya sebagai gurauan dan usikan nakal terhadapnya.

Nor Sakira juga tidak sangka rakaman video berdurasi 35 saat itu boleh tular di media sosial hingga mendapat perhatian ramai tetapi dia tidak kisah walaupun ada sebahagian komen dibuat netizen agak keterlaluan.



Menurutnya, rakaman berkenaan dilakukan ketika dia menjalani latihan di Universal Centre Education Traning Employment (UNICETE) di Chendering, dekat sini.

Katanya, dia seorang daripada 65 pelajar tahap dua bagi Sijil Kemahiran Automotif Servis Selepas Jualan di UNICETE itu.

“Walaupun terpaksa bergelumang dengan minyak hitam selain mendapat sindiran pelbagai pihak, saya tetap kekal dengan minat itu,” katanya.

Pelajar berasal dari Kampung Batangan, Marang itu berkata, dia meminati kerja membaik pulih pelbagai jentera termasuk kereta dan motosikal sejak kecil.

Menurutnya, dia memang mempunyai asas dan sedikit kemahiran membaiki motosikal dan kereta sebelum mengikuti kursus di UNICETE itu.

Katanya, abangnya sendiri, Mohd Sabri, 26, mempunyai bengkel kereta di Kampung Tok Landok dan dia juga banyak menimba ilmu membaiki kenderaan bersamanya.

“Selepas enam bulan mengikuti kursus di UNICETE, kemahirannya semakin bertambah dan dia kini mampu membaiki kerosakan enjin kereta.

“Apabila minat, semua perkara akan mampu dilakukan. Ramai kenalan perempuan yang memandang sinis terhadap minat saya ini tetapi ia tidak melunturkan semangat.

“Walaupun saya terpaksa bermandi minyak hitam, bekerja dengan menggunakan banyak tenaga tetapi ia tidak mengubah penampilan saya sebagai seorang wanita.

“Memang ia kerjaya lasak dan asing untuk seorang perempuan tetapi saya tetap perempuan yang kekal dengan identiti lemah lembut dan suka dengan penjagaan kecantikan,” katanya.

Menurutnya, dia berasa gembira dan bangga kerana memilih untuk mendalami bidang automotif itu sekali gus berpeluang berkhidmat kepada masyarakat.

“Bila ada kenderaan rosak tersadai di tepi jalan, saya akan berhenti untuk memberikan pertolongan.

“Saya berasa puas apabila mampu menghulurkan bantuan kepada orang yang memerlukan terutama membabitkan wanita,” katanya.

Rakannya, Mohd Ishak Amin, 20, dari Kampung Wakaf Mempelam berkata, dia kagum dengan kebolehan yang dimiliki Nor Sakira.

“Sejak mengikuti kursus ini, dia secara tidak langsung menjadi pembakar semangat dan pendorong kepada semua pelajar lelaki di pusat latihan ini.

“Walaupun perwatakannya lemah lembut tetapi kemahiran serta dan kecekapan yang dimilikinya juga setanding dengan pelajar lelaki,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengajar UNICETE Mohd Nazarizal Abd Ghani berkata, Nor Sakira ialah pelajar perempuan ketiga yang mengikuti kursus automotif di UNICETE sejak ia ditubuhkan pada 2012.

“Kami memang menggalakkan penyertaan pelajar wanita di UNICETE kerana ia memberi impak positif terhadap pelajar lelaki,” katanya.

Share on Google Plus

SOTONG KICAP

Blog yang memaparkan informasi terkini berkaitan politik, hiburan, isu semasa dan sebagainya untuk tatapan semua. Kami tidak bertanggungjawab terhadap sebarang pandangan ataupun maklumat yang disediakan.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments :

Catat Ulasan