KUASA media sosial bukan sekadar boleh melariskan jualan, tetapi berupaya menutup perniagaan jika dakwaan dibuat adalah benar.
Pengurusan restoran makanan daun pisang di Bangsar di Kuala Lumpur, Raj’s Banana Leaf, mengakui beberapa entri dan gambar memaparkan pekerja mencuci pinggan menggunakan air lopak di tepi jalan di belakang sebuah premis adalah kakitangannya.
Malah, rakaman video selama 29 saat memaparkan kumpulan pekerja terbabit mencuci pinggan dengan air lopak itu tular di media sosial.
Pihak pengurusan premis berkenaan turut memohon maaf menerusi akaun Facebook rasminya berhubung insiden itu.
“Kami ingin memohon maaf berhubung kejadian pekerja baharu kami (mencuci pinggan menggunakan air lopak) di premis kami di Bangsar, baru-baru ini.
“Ini tidak pernah berlaku dan tidak sepatutnya berlaku.
“Kami memberi jaminan Raj's Banana Leaf sentiasa lulus dalam pemeriksaan kesihatan yang diadakan secara berkala.
“Kami berasa kesal dengan tindakan kakitangan baharu kami dan menyedari perbuatan mereka tidak boleh diterima,” kata kenyataan itu.
Seiring permohonan maaf itu, Raj's Banana Leaf mengumumkan untuk menyediakan juadah buka puasa percuma di cawangannya di Bangsar pada 31 Mei ini, dari 7.30 malam sehingga 9.30 malam.
Pengurusan restoran memberi jaminan akan mengawasi dapur mereka dengan teliti, sambil menambah aspek kebersihan sentiasa menjadi keutamaan.
Raj's Banana Leaf turut menegaskan sudah mengambil tindakan terhadap pekerja terbabit dan kejadian itu tidak akan berulang.
Memahami kebimbangan diluahkan pelanggan, Raj's Banana Leaf berharap orang ramai memberi mereka peluang untuk terus menyajikan hidangan pada masa akan datang.
Sementara itu, sebuah portal tempatan, TwentyTwo13, melaporkan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abdul Aziz, berkata restoran itu akan ditutup bermula esok.
“Saya akan mengarahkan pegawai Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar menyita premis itu esok.
“Ia akan ditutup sehingga mereka mematuhi semua peraturan,” katanya dipetik oleh laporan itu.
******
[UPDATE] Diarah tutup serta-merta
BAHAGIAN Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan hadir di premis restoran makanan daun pisang bagi menjalankan pemeriksaan susulan video tular pekerjanya mencuci pinggan menggunakan air lopak di tepi jalan belakang premis itu di Bangsar, Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Kira-kira 10 pegawai tiba dengan menaiki dua van pada 9.20 pagi.
Sepuluh minit kemudian, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tiba, difahamkan bagi menyerahkan notis penutupan restoran terbabit.
Bagaimanapun, restoran itu tidak beroperasi pada hari ini dan hanya seorang sahaja pekerjanya hadir untuk membuka kunci premis berkenaan bagi membolehkan pemeriksaan dilakukan.
Semalam, tular di media sosial dan Whatsapp memaparkan pekerja didakwa daripada restoran makanan daun pisang, Raj’s Banana Leaf mencuci pinggan menggunakan air lopak di tepi jalan.
Pihak pengurusan restoran berkenaan turut memohon maaf menerusi akaun Facebook rasminya berhubung insiden itu.
Seiring permohonan maaf itu, Raj's Banana Leaf mengumumkan untuk menyediakan juadah buka puasa percuma di cawangannya di Bangsar pada 31 Mei ini, dari 7.30 malam sehingga 9.30 malam.
Sementara itu, portal tempatan, TwentyTwo13, melaporkan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abdul Aziz berkata, restoran itu akan ditutup bermula hari ini.
“Saya akan mengarahkan pegawai Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar menyita premis itu esok.
“Ia akan ditutup sehingga mereka mematuhi semua peraturan,” katanya dipetik dari laporan itu.
0 comments :
Catat Ulasan