Shukri Yahaya kantoi ponteng puasa di set penggambaran
Pelakon Shukri Yahaya mengakui, pernah ponteng puasa beberapa hari ketika memulakan kerjaya sebagai pelakon apabila terpaksa melakonkan aksi berat di bawah panas terik.
Shukri, 29, berkata, memandangkan ia pengalaman pertama menjalani penggambaran pada bulan puasa, dia masih belum dapat menyesuaikan dengan suasana di lokasi.
"Bayangkan saya terpaksa melakonkan babak berat di bawah panas terik. Ketika itu saya masih baharu, semangat pula membara kerana mahu memberikan yang terbaik. Biarpun tidak bersedia mental dan fizikal, saya anggap ia sebagai cabaran perlu dilalui.
"Sangkakan saya mampu bertahan, tetapi akhirnya saya 'kantoi'. Itu kisah ketika awal menjadi pelakon. Alhamdulillah, sekarang saya sudah tahu apa perlu dilakukan untuk menjimatkan tenaga ketika melakonkan babak berat.
"Biarpun sedang berpuasa, saya tiada masalah untuk memberikan yang terbaik kerana lakonan adalah punca rezeki utama," katanya kepada BH Online.
Tambah Shukri, dia bersyukur apabila syarikat produksi semakin prihatin dengan menjalankan penggambaran untuk babak ringan ketika Ramadan.
Baru memenangi trofi Aktor Antagonis Pilihan, anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2018 menerusi lakonannya dalam Andainya Takdir, Shukri bersyukur apabila masyarakat mula melihat sisi lain bakatnya sejak membintangi produksi itu.
"Sebelum ini, saya sering dianggap saya hanya mampu bawa watak baik atau romantik. Menerusi Andainya Takdir, penonton dan penerbit mula membuka mata serta mempercayai kekuatan bakat saya.
"Sehingga kini, saya masih cuba buktikan diri untuk menjadi pelakon versatil. Saya akan terus berusaha mencari kelainan dalam lakonan kerana mahu berjaya seperti idola saya, Datuk Rosyam Noor dan Shaheizy Sam," katanya.
0 comments :
Catat Ulasan