OKU ini terus cekal bantu bengkel kusyen kereta milik bapanya di Kuala Ketil


Di sebalik kecacatan dialami dengan kaki kiri kecil dan bengkok dari paras lutut, terserlah semangat positif dalam diri Syafiq Azlan apabila cekal membantu bapanya mengusahakan bengkel membaiki kusyen kereta.

Syafiq, 23, ketika ditemui di Kampung Baru Kuala Ketil di sini, bersemangat membantu menguruskan bengkel membaiki kusyen kereta milik bapanya, Azlan Mohammad, 47, yang menderita penyakit buah pinggang.

“Saya janji lakukan yang terbaik untuk bantu ayah memajukan bengkel membaiki dan memasang kusyen ini. Kasihan ayah yang menghidap penyakit buah pinggang berulang-alik ke Kulim untuk mendapatkan rawatan.

“Walaupun cacat anggota, ia bukan penghalang bagi saya membuat kerja yang sepatutnya dilakukan orang normal,” katanya.

Menurutnya, bapanya disahkan menghidap penyakit buah pinggang awal tahun ini menyebabkannya nekad membantu memajukan bengkel itu.

Katanya, dia yang juga orang kurang upaya (OKU) lembam pernah menerima pendidikan di Sekolah Pendidikan Khas Batu Pekaka, Kuala Ketil dan kini berusaha menyesuaikan diri dengan persekitaran tempat kerja.

“Ayah membuka bengkel empat tahun lalu dan menjadi tanggungjawab saya membantunya untuk mengembangkan perniagaan.

“Alhamdulillah bengkel ini mendapat sambutan baik dalam kalangan pemilik kenderaan,” kata anak sulung daripada empat beradik itu.

Menurutnya, walaupun menghidap penyakit kronik, bapanya tetap bersemangat untuk menurunkan ilmu serta melatihnya cara membaiki dan memasang kusyen bagi memastikan bengkel itu terus beroperasi.

Azlan pula berkata, dia tiada pilihan melainkan perlu membimbing anaknya menjadi pengganti menguruskan bengkel itu berikutan kesihatannya yang tidak mengizinkan untuk melakukan kerja berat.

Share on Google Plus

SOTONG KICAP

Blog yang memaparkan informasi terkini berkaitan politik, hiburan, isu semasa dan sebagainya untuk tatapan semua. Kami tidak bertanggungjawab terhadap sebarang pandangan ataupun maklumat yang disediakan.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments :

Catat Ulasan