Jamal Yunos masih belum sihat untuk serah diri, ambil keputusan untuk rehat dahulu


KETUA Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos yang dicari polis sejak kelmarin, akhirnya muncul dan menghubungi pasukan peguamnya untuk menyelesaikan proses ikat jamin yang tergendala.

Peguam, Datuk Mohd Imran Tamrin dalam satu kenyataan awal pagi tadi berkata, Jamal sudah menghubunginya dan memaklumkan sedia memberikan kerjasama kepada pihak polis untuk menyempurnakan proses berkenaan.

"Beliau menjelaskan bahawa pada petang hari kejadian beliau bergegas keluar dari hospital setelah selesai ‘discharge’ (keluar wad) untuk mengejar urusan waktu pejabat yang lain.

"Pada ketika itu, beliau (Jamal) percaya dan beranggapan proses ikat jamin telah selesai dan sempurna," katanya.

Kata beliau, Jamal juga memaklumkan bahawa masih belum sihat sepenuhnya dan dalam proses penyembuhan.



"Beliau akan hadir ke mahkamah untuk menyempurnakan proses ikat jamin dan memberikan kerjasama kepada pihak polis setelah beliau benar-benar sihat.

"Kita percaya telah berlaku sedikit salah faham, sehingga perkara dan situasi beliau terbabit telah dieksploitasi dengan tanggapan negatif," kata Mohd Imran lagi.



Katanya, Jamal tidak melarikan diri dan sentiasa mengikuti perkembangan semasa serta bersedia untuk memberikan kerjasama yang sewajarnya.

Tambahnya, pihaknya juga sudah memaklumkan perkembangan terbaharu itu kepada pihak polis.

Sementara itu, Jamal menerusi satu rakaman audio yang diedarkan kepada pihak media, mendakwa dia menyangkakan tempoh tahanan reman dan proses jaminan atas tuduhan yang dikenakan terhadapnya pada hari terbabit (Jumaat) sudah selesai.

"Kira-kira 3.15 petang, saya beredar dari hospital dan pergi ke Tabung Haji untuk mengeluarkan duit untuk digunakan bagi kos-kos seperti reman dan sebagainya.

"Saya terpaksa bergegas kerana mengejar masa, takut-takut waktu pejabat Tabung Haji tutup dan selepas berjaya mengeluarkan duit, saya mendapat panggilan mengatakan saya diburu polis.

"Tetapi ketika itu dalam keadaan saya kurang sihat, lebih baik saya berehat dahulu dan InsyaAllah saya akan tetap akan memberi kerjasama kepada pihak polis," katanya.



Jamal mendakwa apa yang berlaku itu adalah berpunca daripada salah faham dan menyangka proses jaminan itu sudah selesai tanpa menyedari ada beberapa dokumen lagi yang beliau perlu tanda tangani.

"Bukan saya melarikan diri daripada polis atau sebagainya.

"InsyaAllah saya akan bertemu dengan pihak polis bagi memberikan kerjasama sepenuhnya," kata beliau.

Kelmarin, kehilangan Jamal disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang datang ke hospital itu pada 5.30 petang.

Jamal dikatakan tiada di bilik wad, namun peguam dan penjaminnya masih berada di hospital berkenaan.

Peguam Jamal mendakwa beliau didapati hilang sejak 3 petang selepas kesnya didengar Majistret Raja Noor Dilla Raja Mahyaldin dan diberi jaminan sebanyak RM3,000.

Susulan itu, operasi sekatan jalan raya dilakukan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya bagi mengesan Jamal.



******

UPDATE TERKINI:

Polis mengarahkan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos, untuk segera tampil bagi menyelesaikan proses jaminannya yang tergendala, Jumaat lalu.

Ini bagi mengelakkan dia daripada terus menjadi buruan pihak polis dengan sengaja melengah-lengahkan proses itu walaupun memberikan alasan sedang berehat berikutan sakit belakang yang dialaminya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata pihaknya hanya mahu Jamal tampil menyelesaikan perkara itu seberapa segera.

"Kita minta dia hadir. 'Just turn up' (Hadir sajalah). Buat masa ini, dia belum datang berjumpa kita.

"Sebaik dia hadir, kita akan teruskan proses dokumentasi jaminannya," katanya tanpa menyatakan tempoh masa yang diberikan kepada Jamal.

Jamal, 48, hari ini mendakwa berlaku salah faham berhubung proses ikat jaminnya yang dilakukan di Hospital Pakar Ampang Puteri, Ampang dekat sini, kelmarin.


Katanya, beliau menyangkakan proses jaminan atas tuduhan yang dikenakan terhadapnya pada hari terbabit sudah selesai sebelum beredar keluar dari hospital untuk ke Tabung Haji untuk mengeluarkan wang.

Share on Google Plus

SOTONG KICAP

Blog yang memaparkan informasi terkini berkaitan politik, hiburan, isu semasa dan sebagainya untuk tatapan semua. Kami tidak bertanggungjawab terhadap sebarang pandangan ataupun maklumat yang disediakan.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments :

Catat Ulasan