JABATAN Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menyerbu sebuah rumah tumpangan di Kampung Losong, Kuala Terengganu yang dijadikan ‘klinik’ untuk perkhidmatan pemasangan pendakap gigi haram, hari ini.
Dalam serbuan pada 3.30 petang, dua wanita, 21, disyaki pembantu pengamal perkhidmatan itu ditahan untuk diambil keterangan, manakala seorang wanita, 20-an, dipercayai ketua kumpulan melarikan diri.
Pengarahnya Dr Mohammad Omar berkata, ketika serbuan itu 16 pelanggan sedang menunggu giliran memasang pendakap gigi, manakala seorang pelanggan lagi sedang menjalani prosedur pemasangan.
Katanya, pihaknya sudah menjalankan intipan perkhidmatan haram itu sejak Januari lalu, dan mendapati mereka sentiasa menukar lokasi bagi mengelak kegiatan dikesan.
“Kumpulan ini dipercayai dari Kuala Lumpur dan menawarkan perkhidmatan pada harga murah. Modus operandi mereka adalah bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain.
“Harga ditetapkan lebih rendah berbanding klinik berdaftar, manakala promosi dijalankan menerusi laman sosial. Pelanggan hanya perlu membuat pembayaran secara dalam talian sebelum rawatan diberikan,” katanya ditemui selepas serbuan itu.
Dalam operasi itu, tujuh pegawai penguat kuasa JKNT terbabit dan turut disertai tiga anggota polis.
Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 4 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 yang sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun.
Sementara itu, pelanggan remaja dikenali sebagai Rabiatul, 16, berkata dia hanya mengetahui perkhidmatan ditawarkan sejak dua bulan lalu menerusi rakannya.
“Saya lihat kawan memuatnaik status dia memakai pendakap gigi pada tahun lalu, dan saya tanya di mana dia dapatkan perkhidmatan berkenaan, sebelum diperkenalkan dengan ‘doktor’ itu dikenali sebagai Kak Ain.
“Sejak itu saya berhubung dengannya melalui Whatsapp,” katanya yang baru sekali mendapatkan rawatan itu dan dikenakan bayaran RM250.
Menurutnya, dia tertarik dan mempercayai perkhidmatan itu kerana kumpulan terbabit mendakwa mempunyai surat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.
0 comments :
Catat Ulasan