Mekanik Hati Mulia Repair Percuma Setiap hari Jumaat


“Usaha yang dibuat ini adalah ikhtiar saya bagi membantu memperkemaskan Sekolah Rendah Agama (SRA) di taman perumahan saya,” ujar Shikh Mohd Makhdad Harun, 45, mekanik kereta yang menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan kenderaan secara percuma di Makhdad Workshop di Gangsa, Melaka, setiap hari Jumaat.

Dalam tempoh empat jam bermula 8.30 pagi, bapa kepada lima cahaya mata itu tidak akan mengambil sebarang upah bagi pelbagai perkhidmatan penyelenggaraan kenderaan termasuk menukarkan minyak pelincir enjin dan penapis minyak hitam.

Bagaimanapun sekiranya ada pelanggan yang mahu membayar, Shikh Mohd Makhdad mengambil pendekatan dengan menyediakan tabung khas SRA Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Taman Asean 2, di Malim Jaya, di bengkelnya bagi penambahbaikan kemudahan fasiliti sekolah berkenaan.

Katanya, perkhidmatan yang bermula sejak November tahun lalu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan, di mana langkah itu menjimatkan kos penyelenggaran kereta sehingga RM50 selain memberi peluang pelanggan untuk beramal.

"Hanya tenaga sahaja yang mampu saya berikan memandangkan saya bukanlah golongan berada. Alhamdulillah, sambutan cukup menggalakkan terutamanya dalam kalangan pelajar universiti berdekatan.

"Terpulang kepada keikhlasan pelanggan. Jika tidak bayar pun saya tidak marah kerana memang saya berikan perkhidmatan percuma. Namun kebanyakan mereka akan beri juga wang untuk bantu saya penuhkan wang tabung demi keselesaan murid di sekolah itu," katanya ketika ditemui di bengkelnya, hari ini.

Menurutnya, idea menjalankan perkhidmatan terbabit timbul selepas menerima aduan kerosakan lantai di sekolah terbabit yang dibina atas usaha penduduk dan JAIM di taman itu sebelum cuti persekolahan lalu.

Katanya, akibat masalah itu, terdapat beberapa pelajar yang mengalami masalah kesihatan akibat terhidu debu dan habuk yang memenuhi kelas terbabit, di mana dua anaknya turut belajar di sekolah berkenaan.

"Sebagai ibu bapa dan penduduk di taman perumahan itu, saya terpanggil untuk melakukan sesuatu memandangkan masalah sama sering timbul setiap tahun walaupun kerap dibaiki.

"Hasilnya, dalam tempoh lebih sebulan sebaik tabung ini diperkenalkan, saya berjaya mengumpulkan RM6,000, seterusnya dapatlah membaiki lantai konkrit sebelum sesi persekolahan bermula pada Januari lalu," katanya.

Disebabkan perkhidmatan serta konsep ditawarkan mendapat sambutan menggalakkan, Shikh Mohd Makhdad berhasrat meneruskan kutipan dana yang kali ini bagi menampung kos pembinaan bangunan tambahan serta bumbung baharu bagi keselesaan murid.

Malah, dia berkata, wang sumbangan diterima itu turut dibahagikan untuk menampung kos pengurusan surau yang terdapat di dalam kawasan sekolah itu.

"InsyaAllah jika dipanjangkan umur, saya akan teruskan lagi usaha ini dengan membantu pula kemudahan sekolah lain walaupun niat asal saya hanya membantu SRA JAIM Taman Asean 2," katanya.

Share on Google Plus

SOTONG KICAP

Blog yang memaparkan informasi terkini berkaitan politik, hiburan, isu semasa dan sebagainya untuk tatapan semua. Kami tidak bertanggungjawab terhadap sebarang pandangan ataupun maklumat yang disediakan.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments :

Catat Ulasan