Tahukah anda? Jitra pernah ditakluki tentera Jepun melalui Thailand


Tanggal 13 Disember 1941, tercatat detik hitam sejarah tanah air apabila Jitra, Kedah, berjaya ditakluki tentera Jepun diketuai Leftenan Kolonel Saeki Shizuo yang menyerang melalui Thailand. Sistem pertahanan yang dirancang Pegawai Pemerintah Britain di Tanah Melayu, Mejar Jeneral William Dobbie yang sepatutnya berupaya menangkis serangan Jepun selama tiga bulan malangnya hanya bertahan tiga hari.

Tentera Jepun berjaya menakluk sepenuhnya Jitra, gara-gara askar dipimpin Dobbie seperti tidak bertenaga dan kurang pengalaman. Pertempuran dikenali sebagai ‘Battle of Jitra’ oleh sejarawan ini memberi banyak pengajaran dan memahat­kan sejarah penting negara.

Sehingga hari ini, kubu-kubu pertahanan Britain masih kelihatan dan teguh berdiri di Jitra. Malangnya, banyak tinggalan sejarah berkenaan ranap dan musnah begitu saja. Keadaan itu menarik minat sekumpulan pelajar Pusat Asasi Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan pegawai mereka, menyelusuri kemasukan tentera Jepun ke Jitra baru-baru ini.

Pensyarah Kanan UPNM, Mejar (B) Madinah Jaafar Mad berkata, sempena Hari Pahlawan yang disambut pada 31 Julai tahun ini dan Hari Kemerdekaan ke-58, beliau bersama 28 pelajar meneroka perjalanan dilalui tentera Jepun dan pelbagai tinggalan sejarah yang masih ada.

“Sepanjang lima hari di Jitra, kami menemubual pihak yang terbabit secara langsung atau tidak langsung dengan peristiwa itu. Hasil maklumat dikumpul, dibincang dan dikaji sebelum digabungkan dengan empat kumpulan lain daripada UPNM yang ke Kota Bharu (Kelantan), Kampar (Perak), Johor dan Singapura. Kajian ini akan didokumentasikan sebagai sumber rujukan terutama bagi generasi muda,” katanya.

Projek terbabit mendapat sokongan penuh Naib Canselor UPNM, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Panglima Zulkifli Zainol Abidin. Bagi se­orang peserta, Wan Ezzat Danial Wan Ezani, beliau amat teruja apabila terpilih menyertai misi ini.

“Program ini sangat bermakna kerana ia mencungkil cerita dari mulut mereka yang terbabit secara langsung dengan peristiwa bersejarah terbabit.”

“Tidak tergambar keadaan yang diceritakan itu, tambahan melihat kubu-kubu yang dibina British begitu kukuh dan strategik tetapi jatuh juga pada tentera Jepun,” jelas pelajar Kejuruteraan Mekanikal itu.

Beliau juga berkongsi kesedihan melihat aset sejarah yang kebanyakannya ditinggalkan terbiar dan rosak akibat arus pemodenan. Dia mengharapkan ada usaha untuk memuliharanya. Seorang lagi peserta, Muhammad Arif Kiply meluah­kan kekesalannya kerana generasi muda tidak begitu menghayati kepentingan tinggalan sejarah yang hakikatnya mempunyai simbolik besar terhadap peristiwa pernah terjadi kepada tanah air.

“Kebanyakan masyarakat hari ini tidak begitu menghargai tinggalan sejarah di negara ini. Ini berbeza dengan negara maju yang begitu serius mempertahankan warisan yang ada.

“Menerusi sejarah, ia dapat membentuk tiga perkara, iaitu sahsiah, rohani dan jati diri terutama pada remaja seperti kami. De­ngan itu kami dapat lebih menghargai keamanan selain menghargai peranan golongan orang dulu berjuang mempertahankan negara,” katanya.

Bagi Muhammad Amirul Afif pula, hasil kajian mendapati golongan bawah 20 tahun amat sedikit pengetahuan mereka mengenai sejarah.

“Justeru program ini sangat signifikan mengumpulkan pelbagai bahan penting bagi tatapan generasi akan datang. Biarpun pernah dipelajari ketika sekolah, tidak ramai golongan muda terutamanya 20 tahun ke bawah mengambil berat mahupun mempunyai pengisian dalam sejarah berlaku sekitar mereka.

“Biarpun kami terpaksa berhadapan dengan cuaca yang tidak menentu, kadang­kala panas terik dan ada masanya hujan lebat, ia tidak mematahkan semangat kami menyiapkan tugasan ini.

“Walaupun sibuk dengan tugasan, kami dapat me­ngenali penduduk kampung terbabit sangat mesra. Paling tidak dilupakan, kami dijamu dengan makanan tradisional Kedah ketika berkunjung ke rumah penduduk yang terbabit dalam temubual,” katanya.

Penghulu Mukim Pelubang, Nazlan Omar mengalu-alukan kehadiran pelajar itu kerana tanpa usaha dilakukan seperti ini, artifak-artifak ini akan hilang ditelan zaman.

Beliau dan beberapa penghulu lain turut mengiringi dan memperkenalkan pelajar kepada penduduk terbabit sekitar Mukim Binjal, Mukim Malau, Mukim Gelong, Mukim Jitra dan Mukim Pelubang untuk melihat aset sejarah yang masih ada.

Di samping itu, pelajar juga mendengar pengkisah­an sejarah daripada Ketua Biro Kaji Selidik Persatuan Sejarah Kedah, Dr Mohd Kasri Saidon, yang juga Pensyarah Kanan Universiti Utara Malaysia. Rombongan yang diketuai Pengarah Pusat Asasi Pertahanan, Profesor Datuk Dr Wan Md Zin Wan Yunus itu turut mendapat kerjasama penuh daripada Pejabat Da­erah Kubang Pasu dan Persatuan Sejarah Negeri Kedah.

Justeru, satu sahaja harapan kumpulan siswa itu, iaitu betapa perlunya usaha memelihara warisan negara dan membuka mata pihak lain agar sama-sama me­ngembleng tenaga dan sumber untuk memastikan monumen-monumen yang masih ada terus kekal dan utuh.

Share on Google Plus

SOTONG KICAP

Blog yang memaparkan informasi terkini berkaitan politik, hiburan, isu semasa dan sebagainya untuk tatapan semua. Kami tidak bertanggungjawab terhadap sebarang pandangan ataupun maklumat yang disediakan.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments :

Catat Ulasan