(Video) Pengawal keselamatan Hospital Raja Perempuan Zainab II kecoh dibelasah

Tiga lelaki ditahan polis petang tadi bagi membantu siasatan kes seorang pengawal keselamatan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, dipukul dan ditumbuk di hospital berkenaan yang ‘viral’ di Facebook, semalam.

Lelaki berusia 20-an hingga 40-an itu ditahan kira-kira 3 petang di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Kota Bharu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, sebelum kejadian, individu berkenaan menemui mangsa yang bertugas di pintu masuk Wad Temenggung untuk memohon kebenaran melawat seorang saudara mereka yang dirawat berkaitan masalah jantung.

“Bagaimanapun, mangsa tidak membenarkan mereka masuk memandangkan lelaki terbabit mahu membawa bayi lelaki berusia 10 bulan sedangkan wad itu adalah wad separa ICU yang tidak terbuka kepada kanak-kanak berusia bawah 12 tahun selain hanya dua pelawat dibenarkan untuk satu-satu masa.

“Lelaki terbabit tidak berpuas hati dan bertindak menggoncang pintu masuk wad sebelum berlaku pertengkaran mulut antara mereka dan lelaki itu menumbuk muka mangsa yang terkena hidung, dahi dan mata.

“Mangsa kemudian ke tingkat bawah bangunan meminta bantuan rakan dan menemui lelaki berkenaan berada di Pos Anggerik (tempat kawalan)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa bersama empat rakan sekerja menghampiri lelaki itu untuk memintanya beredar, namun dia diserang dan dipukul oleh suspek bersama tiga lagi saudara dan rakannya.

Menurutnya, seorang daripada tiga lelaki yang ditahan berusia 35 tahun sebelum itu membuat laporan polis dan dalam laporan dibuat, dia mendakwa mangsa cuba melakukan provokasi sebelum berlaku pergaduhan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.


Sementara itu, Pengarah HRPZ II Datuk Dr Ghazali Hasni Md Hassan ketika dihubungi kesal dengan kejadian itu dan meminta orang awam memahami peraturan melawat ditetapkan dan pengawal keselamatan hanya mengikut arahan.

Share on Google Plus

SOTONG KICAP

Blog yang memaparkan informasi terkini berkaitan politik, hiburan, isu semasa dan sebagainya untuk tatapan semua. Kami tidak bertanggungjawab terhadap sebarang pandangan ataupun maklumat yang disediakan.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments :

Catat Ulasan