Bagaimana saat roh dicabut dari jasad?


Pada saat roh dicabut daripada jasad, dunia sudah tidak ada nilainya dan kita bersendirian menghadap Allah SWT. Beruntunglah jika saat roh dicabut itu kita tergolong dalam kalangan orang Mukmin, kerana mampu melafazkan kalimah tayyibah.

Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang menyebut Lailaha illallah pada akhir kehidupannya, aku jamin dia akan dapat memasuki syurga Allah."

Bahkan Baginda berpesan kepada mereka yang menziarahi orang sakit tenat, apabila sampai saat kematiannya, kita mengajarnya menyebut dan mengulang kalimah tayyibah. Berhentilah berbicara perkara dan urusan lain. Pada ketika itu malaikat mencari-cari di manakah kalimah Allah SWT daripada jasad seseorang, di hati, tangan dan seluruh anggota badannya.

Jika tiada, malaikat akan menepuk di bawah dagunya menyebabkan lidah bergetar dan menyebut kalimah Allah SWT, maka terkeluarlah roh daripada jasad itu.

Bau busuk tak dapat dihidu jin, manusia 

Namun, jika ketika roh sedang ditarik, kalimah Allah SWT tidak mampu diucapkan walaupun selepas diajar, maka satu kecelakaan kepada orang itu. Barraq bin A'zid menyebut, apabila roh itu keluar daripada jasad, tersembur roh dalam keadaan berbau sangat busuk. Hanya dua makhluk yang tidak dapat menghidu bau busuk ini iaitu jin dan manusia.

Lalu dinaikkan roh ini ke langit pertama hingga langit ketujuh dan menghadap Allah SWT. Kemudian Allah SWT memerintahkan roh itu ditempatkan dalam neraka Sijjin, seterusnya roh akan pulang dan diletakkan di hujung kepala jasadnya. Begitu juga roh orang Mukmin, selepas diperintahkan rohnya ditempatkan dalam syurga Illiyeen, roh itu dipulangkan ke hujung kepala jasad mereka.

Menurut Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani dalam slot Mau'izati di IKIMfm pada Khamis, jam 5.15 petang, diriwayatkan oleh Abu Said al-Qudri, Rasulullah SAW bersabda: "Seorang mayat yang telah terbujur kaku itu, dia akan mengenali siapakah yang akan memandikan jasadnya."

Dalam hadis lain menyebut, ketika memandikan jasad, Rasulullah SAW berpesan supaya menjirus air di telapak tangan dan direnjis kepada jasad kerana sakit yang dirasainya ketika menghadapi saat kematian bagaikan melecur seluruh badannya. Pada waktu air dijirus kepada jasad, roh akan berkata kepada mereka yang memandikannya supaya melakukannya secara perlahan-lahan, sakit menghadapi kematian masih belum berakhir.

Roh juga akan merasai setiap usapan, sentuhan dan tekanan oleh mereka yang memandikannya. Rasulullah SAW juga berkata, roh akan melihat dan merasai ketika jasadnya diangkat dan dikafankan. Beruntunglah pada ketika itu jika mereka yang memandikan jasad terdiri daripada orang salih. Beruntung juga jika ketika menghadapi saat kematian, kita dikelilingi anak salih yang akan menguruskan jasad kita.

Baginda SAW bersabda, jasad akan sedar siapa yang mengusungnya untuk dikebumikan. Ada sesetengah ulama tidak membenarkan orang lain membawa jenazah ibu bapanya dan akan mengusung sendiri jenazah mereka ke tanah perkuburan. Sampai peringkat, jasad akan sedar saat ketika dia diturunkan ke dalam liang lahad, dapat melihat suasana di alam barzakh dan melihat di hujung kakinya, berdiri dua malaikat iaitu Mungkar dan Nangkir yang akan memulakan sesi soal jawab.

Ketika menghadap Allah SWT, kita mengharapkan doa keluarga dan anak salih kerana ketika itu wang banyak, jawatan besar atau kedudukan tinggi sudah tidak bermakna lagi, hanya roh sahaja.

Justeru, bersedialah di dunia ini supaya kita ditemani doa anak yang salih ketika menghadap Allah SWT. Apa yang dikesali, jika anak hanya melihat dan berpeluk tubuh tanpa mampu melakukan apa-apa dan tidak berani menyentuh jenazah apatah lagi mengangkat tangan mendoakan kita.

Ini menandakan kita tidak melakukan persiapan untuk hidup selepas kematian nanti. Jenazah seolah-olah tersenyum Ada sesetengah jenazah yang dilihat seolah-olah tersenyum kerana dia sudah dapat melihat tempatnya dalam syurga Allah SWT. Apabila orang Mukmin meninggal dunia dan ditunjukkan tempatnya dalam syurga Allah SWT, dia akan berasa cukup reda di atas apa yang dilalui sepanjang hidupnya di dunia.

Diriwayatkan oleh Amru bin Abi Dinar daripada Ibnu Abi al-Dunya yang menyebut, tidak ada seorang pun yang meninggal dunia melainkan dia mengetahui apa yang terjadi kepada keluarganya. Apabila meninggal dunia, kita mampu melihat apakah yang dilakukan oleh isteri, anak dan mereka yang berada di sekeliling kita pada ketika itu.

Rasulullah SAW bersabda: "Mereka mandi dan mengapani, sementara kita melihat keadaan bagaimana mereka mengapan, dan melakukan solat serta penguburan jenazah kita ke dalam kubur."

Walaupun roh sudah keluar meninggalkan jasad, tetapi kita dapat merasai dan melihat berlakunya kematian kepada diri kita. Bertakwalah kepada Allah SWT dalam urusan ini, dibimbangi apabila tiba masanya menghadapi kematian, kita tidak bersedia melihat keadaan yang lebih buruk daripada itu.

Share on Google Plus

SOTONG KICAP

Blog yang memaparkan informasi terkini berkaitan politik, hiburan, isu semasa dan sebagainya untuk tatapan semua. Kami tidak bertanggungjawab terhadap sebarang pandangan ataupun maklumat yang disediakan.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments :

Catat Ulasan