FAM hanya ada 14 hari untuk jawab kekecohan Ultras Malaya


Kedudukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini terancam selepas mereka diberikan tempoh 14 hari untuk memberi penjelasan kepada Pesuruhjaya Sukan mengenai insiden kekecohan Ultras Malaya di Stadium Shah Alam Selasa lalu.

Jika tiada alasan konkrit dikemukakan, Pesuruhjaya Sukan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan termasuk menggantung FAM sekali gus menyebabkan badan induk itu tidak boleh meneruskan sebarang aktiviti bola sepak.

Namun apa yang membimbangkan, masalah lebih besar bakal dihadapi FAM sekiranya FIFA melihat badan itu sudah tidak mempunyai kebebasan dalam menguruskan bola sepak kerana campur tangan kerajaan yang boleh mengundang penggantungan di peringkat antarabangsa.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mengumumkan tindakan Pesuruhjaya Sukan itu semalam menafikan beliau mahu ‘tunjuk kuasa’ tanpa menyedari kesan jangka panjang ke atas bola sepak tanah air.

“Saya tidak ambil ringan pertimbangan ini dan saya tidak hanya menggunakan kuasa semata-mata. Saya berharap Pesuruhjaya Sukan akan memulakan proses ini dan apabila menerima jawapan daripada FAM nanti baru kita boleh ambil tindakan seterusnya.

“Kita tidak boleh berdiam diri hanya kerana memikirkan mengenai penggantungan dari badan antarabangsa (FIFA) ke atas FAM. Bila sampai tahap kita perlu campur tangan, kita akan melakukannya.

“Kalau mereka menjawab dalam tempoh 14 hari dan Pesuruhjaya Sukan tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan, Pesuruhjaya Sukan boleh menggantung FAM,” katanya.

Khairy menyatakan beliau mengarahkan Pesuruhjaya Sukan Datuk Zaiton Othman menghantar surat tunjuk sebab kepada FAM kelmarin mengenai insiden kekecohan yang dicetuskan Ultras Malaya pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 antara skuad kebangsaan dengan Arab Saudi Selasa lalu.


Tindakan melampau segelintir Ultras Malaya yang membakar suar, bom asap dan mercun ke dalam padang menyebabkan perlawanan ditangguhkan ketika skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee ketinggalan 1-2.

Kemarahan penyokong fanatik Harimau Malaya itu dikatakan berpunca daripada rasa tidak puas hati dengan pentadbiran FAM serta keputusan memalukan kalah 0-10 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Abu Dhabi 3 September lalu.

Jika digantung, FAM tidak boleh meneruskan sebarang aktiviti bola sepak sehingga segala masalah selesai seperti yang dialami oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) sebelum ini di bawah Seksyen 20 (1) (6) Akta Pembangunan Sukan.

“Ramai orang mengatakan kita tidak mahu FAM digantung tetapi mahu dirombak. Tapi masalahnya akta ini tidak memberi kuasa kepada kita untuk merombak mana-mana persatuan sukan hanya menggantung atau membatal pendaftaran persatuan sukan.

“Sekalipun marah dengan FAM, mereka tidak boleh melepaskan kemarahan seperti itu. Dalam hal ini kedua-dua pihak salah dengan FAM gagal menghalang gangguan itu berlaku walaupun amaran sudah diberikan. Ini bukan saja soal keselamatan, malah memalukan negara,” kata Khairy.

Share on Google Plus

SOTONG KICAP

Blog yang memaparkan informasi terkini berkaitan politik, hiburan, isu semasa dan sebagainya untuk tatapan semua. Kami tidak bertanggungjawab terhadap sebarang pandangan ataupun maklumat yang disediakan.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments :

Catat Ulasan