Separas dada dua gadis ini trauma di Alor Gajah


Dua gadis berusia 19 tahun berdepan detik mencemaskan apabila Proton Persona dinaiki dihanyutkan arus deras ketika melalui jalan yang dinaiki air di Jalan Datuk Megat Alam Lintang, Cherana Putih, 4 petang tadi.
Ketika kejadian, pemandu Proton Persona, Nurain Annisah Mohd Zulkifli dan rakannya Nurul Syafiqqah Shamsuddin dalam perjalanan pulang ke rumah sewa mereka.

Nurul Syafiqqah berkata, ketika tiba di pertengahan jalan, enjin kereta tiba-tiba mati dan kereta dihanyutkan arus deras menyebabkan mereka panik.

"Kami memberanikan diri keluar dari kereta dan mengharungi air separas dada untuk menyelamatkan diri di kawasan berbukit berhampiran.

"Syukur kerana kami selamat sebelum dibantu sepasukan anggota bomba yang tiba tidak lama kemudian," katanya.

Katanya, kejadian itu turut menyebabkan dia dan rakannya trauma kerana terpaksa menempuh arus deras untuk menyelamatkan diri selain tidak pandai berenang.

Sementara itu, hujan lebat selama dua jam sejak 3 petang tadi turut menjejaskan 50 penduduk dari 30 keluarga di Kampung Cherana Putih, Taboh Naning, selepas kediaman mereka dinaiki air sehingga paras pinggang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning Datuk Latipah Omar berkata, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Alor Gajah sudah melakukan tinjauan dan menghulurkan bantuan segera kepada mangsa yang terjejas.
Sumber: Harian Metro

Share on Google Plus

SOTONG KICAP

Blog yang memaparkan informasi terkini berkaitan politik, hiburan, isu semasa dan sebagainya untuk tatapan semua. Kami tidak bertanggungjawab terhadap sebarang pandangan ataupun maklumat yang disediakan.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments :

Catat Ulasan